ying-ge--Yo1cWJVKFY-unsplash
ying-ge--Yo1cWJVKFY-unsplash

Program NILAM bantu pupuk semangat membaca dalam kalangan murid

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
24 Jan 2022 10:18pm

Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) antara program yang dianjurkan pihak sekolah dalam usaha menarik dan memupuk minat murid untuk menjadikan amalan membaca sebagai satu keutamaan.

Ini kerana, hanya dengan membaca sahaja, seseorang itu dapat menambah ilmu pengetahuan, meningkatkan pencapaian bahasa, mengetahui berita atau isu semasa, menambahkan perbendaharaan kata dan sebagainya.

Begitupun pastinya masih ada murid dan pelajar serta ibu bapa yang tidak mengetahui dengan jelas apa itu program NILAM.

Sehubungan itu, Sinar Bestari kongsikan informasi tentang NILAM untuk panduan kita bersama.

*****

Program galakan membaca dalam kalangan murid-murid di sekolah telah pun dilaksanakan semenjak 1999. Ia adalah usaha murni Kementerian Pelajaran (KPM) ketika itu.

NILAM, sebuah program yang mencakupi semua aktiviti galakan membaca yang dijalankan di sekolah melibatkan penilaian pembacaan berterusan sepanjang tahun yang diakhiri dengan pengiktirafan bersesuaian.

Ia telah mula dilaksanakan bagi murid Tahun Satu di sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau peralihan di sekolah menengah, iaitu melalui Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil 13/1998: Program Membina Tabiat Membaca bertarikh 22 Mei 1998.

Matlamat dan objektif NILAM adalah untuk membina tabiat membaca dalam kalangan murid serta menggalakkan mereka agar terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca.

Pelaksanaan program ini memerlukan penglibatan secara menyeluruh daripada warga sekolah sama ada murid-murid mahupun guru-guru.

Terdapat tiga komponen dalam program NILAM iaitu membaca dan merekod bahan bacaan; mengesahkan rekod dan mengumpul data; serta memberi pengiktirafan dan ganjaran.

Komponen membaca dan merekod bahan bacaan adalah melibatkan murid sementara komponen mengesahkan rekod dan mengumpul data serta memberi pengiktirafan dan ganjaran adalah sepenuhnya di bawah tanggungjawab guru.

Semua sekolah perlu memberi pengiktirafan dan ganjaran kepada murid yang telah banyak membaca dan berusaha mengisi rekod bacaan mereka mengikut sistem ganjaran dan pengiktirafan NILAM.

Program NILAM yang ditambah baik ini mula dijalankan sepenuhnya mulai sesi persekolahan 2018. Ia merupakan kesinambungan kepada program NILAM sebelum ini.

Bagaimanapun, NILAM yang ditambah baik ini lebih mementingkan kualiti pembacaan berbanding kualiti bahan yang dibaca. Ia merupakan gabungan aktiviti pembacaan (kuantiti dan kualiti bahan) dan juga aktiviti-aktiviti pengayaan selepas pembacaan (peningkatan pengetahuan dan kemahiran selepas pembacaan) yang mana ia berfokuskan kepada aspek kualiti selepas pembacaan.

Objektif NILAM yang ditambah baik adalah untuk melestarikan budaya pembacaan yang berkualiti sepanjang hayat dalam kalangan murid-murid, menyediakan murid-murid yang dapat menjawab soalan yang menguji keupayaan menaakul, membuat refleksi dan menilai melalui aktiviti pengayaan.

Secara umumnya, ia menggalakkan penglibatan semua warga sekolah/ masyarakat / komuniti setempat / pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan dalam pelaksanaan program serta pembinaan tabiat membaca dalam kalangan murid-murid.

Murid banyak pilihan

Murid mempunyai banyak pilihan dalam memilih bahan bacaan. Mereka boleh memilih sama ada bahan bacaan buku ataupun bukan buku.

Bahan bacaan buku terdiri daripada buku berbentuk fizikal dan juga buku digital / e-book.

Sementara bahan bukan buku pula adalah bahan bercetak (katalog berilmiah, manual pengguna, buku skrap, jurnal, brosur berilmiah, majalah, artikel/rencana, komik, peta, cerpen, carta, poster, buletin) dan bahan bukan cetak (video klip berinformasi, CD perisian pendidikan, kit pembelajaran, e-bahan pembelajaran).

Jumlah bacaan buku murid masih dikekalkan seperti mana yang terdapat dalam NILAM terdahulu. Akan tetapi, ia telah ditambah baik dari sudut kualitatif melalui kuantiti buku yang dibaca.

Pengukuran kualiti buku diukur melalui jumlah muka surat yang dibaca. Semakin banyak muka surat yang dibaca, semakin banyak mata ganjaran yang akan diberikan.

Sekolah juga boleh menghasilkan aktiviti yang lebih berkesan dan inovatif bagi merangsang minat murid dalam pembacaan.

Program NILAM yang dicetuskan oleh KPM ini merupakan satu platform untuk murid-murid menanamkan tabiat suka membaca.

Di samping itu, ia juga adalah adunan usaha yang perlu digembleng oleh warga sekolah dan masyarakat dalam merealisasikan niat murni kerajaan tersebut.

Pendekatan, peluang dan galakan kepada murid-murid menggunakan keupayaan diri dalam membudayakan tabiat membaca semakin terserlah apabila program NILAM yang ditambah baik dilaksanakan.

Kepelbagaian jenis bahan bacaan yang disokong dengan pembinaan pengetahuan dan kemahiran selepas pembacaan diharapkan dapat melestarikan budaya membaca dalam kalangan murid-murid.

Semoga masyarakat Malaysia akan terus membudayakan tabiat membaca dan negara kita akan melahirkan lebih ramai cendekiawan yang berdaya saing dan berfikir di luar kotak.

Sumber: Portal pendidik2u

Artikel berkaitan 

Bomba di Malaysia, sedia membantu dalam pelbagai situasi

6 kepentingan portal pekerjaan kepada bakal graduan

SK Kenering lancar program NILAM, sasar murid-murid suka membaca pelbagai genre buku


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp
Artikel Disyorkan