muhammad omar mokhtar
muhammad omar mokhtar

“Saya berhasrat jadi pendidik”, luah pelajar cemerlang STPM tanpa kad pengenalan, taraf kerakyatan

Rasyidah Zulkifi
08 Sep 2022 06:16pm
A
A
A

Dokumen pengenalan diri merupakan syarat penting bagi menyambung pengajian tinggi sebagai seorang warganegara Malaysia.

Jika tidak memilikinya akan menyukarkan proses untuk ke menara gading seperti yang dihadapi oleh pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM), Muhammad Omar Mokhtar Abdul Rahman yang bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik.

Walaupun mendapat PNGK 4.0, sukar buat Muhammad Omar Mokhtar untuk menggapai impiannya itu kerana tidak mempunyai MyKad dan taraf kewarganegaraan.

Mujur nasibnya mendapat perhatian Naib Canselor, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Haim Hilman Abdullah yang menawarkan biasiswa, selain menyampaikan sedekah dan bantuan bakul makanan ketika berkunjung ke rumahnya di Kedah.

Bekas Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kubor Panjang, Pendang itu amat menghargai tawaran UUM dan akan mempertimbangkannya sebaik menerima keputusan UPUOnline yang bakal diumumkan dalam masa terdekat.

“Saya bercadang untuk menyambung pengajian dalam bidang pendidikan dan berharap agar diterima Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi merealisasikan hasrat untuk menjadi seorang pendidik.

“Namun, saya berhadapan dengan cabaran besar iaitu tidak mendapat status kerakyatan dan tiada MyKad yang sememangnya menghalang saya daripada menyambung pelajaran.

“Sekiranya isu kewarganegaraan saya masih belum selesai, saya bersedia menjadikan UUM sebagai destinasi untuk saya melanjutkan pengajian tinggi,” katanya yang gagal mendapatkan kad pengenalan ketika berumur 12 tahun disebabkan kad pengenalan ibu kandungnya yang berasal dari Sabah mempunyai beberapa masalah.

Ditakdirkan kedua ibu bapanya berpisah pada 2015, kemudian dia telah diambil sebagai anak angkat secara sah oleh ibu saudaranya yang menetap di Kedah.

Dalam pada itu, Haim Hilman berkata, kesusahan yang dihadapi merupakan ujian daripada ALLAH untuk menjadikan manusia lebih kuat pada masa hadapan.

Beliau juga memutuskan untuk menawarkan biasiswa penuh kepada Muhammad Omar Mokhtar sekiranya penyambung pengajian di UUM bagi meningkatkan motivasi diri. 

Bagaimanapun, sambung Haim Hilman, UUM sentiasa mendoakan yang terbaik untuknya, walau apa pun keputusan yang dibuat.

“Saya yakin dan percaya mana-mana institusi pengajian tinggi yang menawarkan penempatan kepadanya adalah institusi terbaik dan sebenarnya akan membantu merealisasikan potensi penuhnya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Artikel berkaitan 

Rabun bukan penghalang Niki raih keputusan cemerlang dalam STPM

Akses internet makin laju, kumpulan pelajar luah rasa gembira 

Ditinggalkan sejak kecil tanpa taraf kewarganeganegaraan.. Rohana syukur dapat sambung belajar


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan