Ditinggalkan sejak kecil tanpa taraf kewarganeganegaraan.. Rohana syukur dapat sambung belajar

Rasyidah Zulkifi
30 Jul 2022 04:52pm
A
A
A

Walaupun pernah ditinggalkan tanpa taraf kerakyatan sejak berusia dua bulan, Rohana Abdullah, 22, bersyukur kerana diberikan peluang untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Dia yang sebelum ini tidak mempunyai kad pengenalan dan dokumen pengenalan diri sehingga terpaksa berhenti sekolah bakal mengikuti pengajian dalam bidang Diploma Sains Komputer di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bermula Isnin ini.

“Terima kasih kepada UTeM yang menawarkan penempatan kepada saya dan alhamdulillah pastinya saya berasa sangat gembira dengan tawaran ini.

“Selepas sekian lama menunggu, sudah pasti peluang ini akan dimanfaat sepenuhnya untuk mencapai cita-cita saya dalam jurusan itu.

“Saya difahamkan Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin akan mengadakan suatu majlis khas esok untuk menyerahkan tawaran itu kepada saya,” katanya yang diambil sebagai anak angkat oleh seorang wanita berbangsa Cina, Chee Hoi Lan, 83.

Rohana (kiri) bersama ibu angkatnya, Choi Lan (kanan) yang menjaganya sejak berusia dua bulan.

Biarpun berlainan agama, Hoi Lan yang menjaga Rohana sejak daripada bayi berusaha mengekalkan anak angkatnya itu sebagai seorang muslim.

Kisah itu mengundang reaksi banyak pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang pernah menghubunginya kira-kira enam bulan lalu.

Panggilan tersebut dibuat bertujuan untuk membantu Rohana mendapatkan taraf kewarganegaraan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Detik manis itu akhirnya tiba pada 29 April lalu selepas dia disahkan menjadi warganegara menerusi Surat Keputusan Kewarganegaraan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Putrajaya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan