“Sediakan akses jalan raya yang sempurna buat kami” - Harapan tinggi seorang guru besar
“Sediakan akses jalan raya yang sempurna buat kami” - Harapan tinggi seorang guru besar

“Sediakan akses jalan raya yang sempurna buat kami” - Harapan tinggi seorang guru besar

Roshlawaty Md Raieh
23 Aug 2022 12:15pm
A
A
A

Kita tidak berada di tempat mereka dan tidak tahu apa kesusahan yang dilalui.

Mungkin pada pandangan mata kasar, semuanya hanyalah masalah kecil. Namun bagi warga Sekolah Kebangsaan (SK) Terian, Penampang, Sabah, sampai bila mereka harus berhadapan dengan situasi sebegini.

Berkongsi sedikit kisah mengenai perkembangan SK Terian, guru besarnya, Mohd Fazil Hoyak berkata, ketika ini tiada lain yang dipinta untuk keselamatan warga sekolah melainkan memohon pihak berwajib menyediakan akses jalan raya yang sempurna di kampung berkenaan.

Menurutnya, jalan raya yang ada ketika ini, sangat uzur dan menyukarkan segala urusan berkaitan persekolahan.

“Bukan mahu mengeluh atau tidak bersyukur. Tetapi inilah kenyataannya. Sebagai pentadbir, sudah tentulah saya sangat sedih dengan apa yang berlaku,” katanya yang baru tiga tahun memimpin SK Terian.

Mengulas lanjut, guru besar ini berkata, keadaan jalan yang tidak sempurna telah menyebabkan pelbagai kemudahan sukar di bawa masuk termasuklah bekalan elektrik dan air.

“Buat masa ini, kami bergantung sepenuhnya dengan tenaga solar dan bekalan air graviti yang ditumpang dari penduduk setempat bagi kemudahan guru dan murid sekolah ini.

"Jadi jika ditanya apa yang kami mahukan untuk sekolah, sudah tentulah pelbagai kemudahan yang diperlukan sama seperti sekolah yang lain.

“Bagaimanapun, buat masa ini, kemudahan yang paling utama adalah jalan raya. Bila jalan raya elok dan sempurna, kemudahan lain itu automatik akan ada," katanya.

Sebelum itu, SK Terian terletak di Kampung Terian iaitu kira-kira 30 kilometer dari Pekan Penampang yang merupakan daerah berhampiran dengan ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, Cikgu Mohd Hazil memberitahu, SK Terian mempunyai lapan guru, empat kakitangan sekolah dan 15 murid yang terdiri dari Tahun Satu hingga Tahun Enam.

Walaupun bilangannya tidak ramai, namun mereka tetap memerlukan kemudahan yang sempurna untuk proses pengajaran dan pembelajaran.

Ditanya mengenai perjalanan pergi dan balik warga sekolah, Cikgu Mohd Hazil menjelaskan, kesemua guru dan kakitangan sekolah menetap di Kampung Terian dan mereka hanya akan keluar dari kampung tersebut jika ada keperluan.

"Kesemua guru termasuk kakitangan adalah lelaki kerana keadaan akses jalan raya yang kurang baik menyukarkan guru wanita masuk ke sini.

"Untuk pergerakan keluar dan masuk ke sekolah, kami tidak ada masalah kerana bergerak menggunakan 'kuda ringan' atau motosikal.

“Biasanya kami akan bergerak secara berkumpulan memandangkan keadaan jalan yang begitu mencabar kerana perlu melalui jalan tanah merah, berlumpur serta berbatu besar selain merentas dua sungai yang ada,” katanya.

Sambung beliau lagi, pergerakan secara berkumpulan itu memang digalakkan kerana jika berlaku kerosakan di tengah jalan, ia lebih mudah untuk dibaiki sesama guru.

“Satu rahmat buat kami bila kesemua guru-guru mempunyai kepakaran membaiki motosikal masing-masing. Jika tidak, tidak tahulah bagaimana keadaan guru apabila motor mereka rosak pada waktu malam,” katanya yang tidak mengalakkan guru-guru keluar bersendirian kerana bimbang dengan keselamatan mereka.

Akhir sekali, Cikgu Mohd Fazil sangat berharap jalan raya yang rosak teruk itu dapat dibaiki dengan segera.

“Tolonglah baiki segera laluan ini. Kasihanilah kami,” katanya.

Untuk warga SK Terian, semoga segala urusan kalian dipermudahkan ALLAH. Aamiin.

Artikel berkaitan 

(VIDEO) Guru ini pertaruh nyawa sebelum tiba ke sekolah, inilah wira negara yang sebenar

(VIDEO) Sekolah hasilkan video muzik raya dengan konsep unik, berjaya tarik perhatian warganet

(VIDEO) Kejutan istimewa sempena Hari Guru, ibu murid hadiahkan rotan kepada guru di sekolah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan