Guru kongsi petua pindah sekolah baharu
Guru kongsi petua pindah sekolah baharu

Sukar menyesuaikan diri? Guru ini kongsi 10 petua berpindah ke sekolah baharu

Adlan Farhan Azwan
22 Feb 2022 11:24am
A
A
A

Seramai 8,120 guru baharu pengambilan khas secara one-off yang berjaya dalam temuduga fasa dua dan tiga, baru-baru ini akan mula melapor diri pada 1 Mac 2022 dan sudah tentunya ramai yang teruja untuk bergelar pendidik, tidak kira di mana pun mereka ditempatkan.

Memulakan kehidupan sebagai pendidik sudah tentu ada segelintir yang akan mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baharu.

Kali ini, Sinar Bestari kongsikan dengan anda mengenai petua berpindah ke sekolah baharu berdasarkan perkongsian yang dibuat Razali Saaran menerusi laman Facebook miliknya.

Baca juga

(VIDEO) Beg sekolah berat? Guru ini kongsi inisiatif sekolah ringankan beban murid

Baru darjah 3 sudah pandai jadi ‘pak guard’, seorang ibu kongsi telatah yang dilihatnya di sekolah

Ikuti perkongsian tersebut di bawah:

*

Untuk adik-adik yang bakal melapor diri di sekolah pertama. Sekolah pertama adalah pengalaman yang hebat. Semoga berjaya.

Petua Berpindah Ke Sekolah Baharu

Setiap tahun, pasti ada guru-guru yang baru melapor diri sebagai guru baharu atau berpindah dari sekolah lama. Sebagai orang baharu, tidak kira kita benar-benar guru baharu atau guru yang baru berpindah, kita perlu faham, kita tetap orang baharu di sana. Sebagai guru yang ada pengalaman bertugas sebagai guru baharu dan juga berpindah ke sekolah baharu, izinkan saya berkongsi sedikit petua di sini.

1. Hormati guru-guru di sekolah baharu.

Maksud saya, jangan kita buat tidak tahu apabila bertemu. Paling tidak senyumlah dahulu. Jika ada sedikit kekuatan, bertanyakan khabar mereka. Kita perlu faham, orang lama di tempat baharu kita itu tetap senior walaupun mungkin kita lebih lama berkhidmat dalam dunia pendidikan. Tidak rugi kita bermanis muka sebagai tanda kita ini orang yang ada budi bahasa. Jika kita mahu dihormati dan disenangi, kita perlu tahu menghormati.

2. Jangan tunjuk kita ini serba tahu.

Bukan kita tidak boleh menunjukkan kemampuan diri, tetapi dengan cara yang tidak menyakitkan hati orang lama di sana. Ini tidak, kita sibuk mencari kesalahan dalam kerja orang dan kita puji diri sendiri. Jawatan orang kita ambil dan kita tidak mahu mendengar pandangan orang lain. Ini tidak baik untuk hubungan jangka panjang.

3. Banyakkan bertanya

Orang baharu kena banyak bertanya supaya cepat belajar. Ingat, jika kita guru lama, budaya kerja di sana mungkin berbeza. Tunjukkan kita ini orang yang ada budi bahasa. Pasti kita akan disenangi orang.

4. Banyakkan mendengar

Orang baharu elakkan terlibat dengan kumpulan tertentu. Jadi pendengar sahaja dan jangan terlibat dengan politik organisasi yang wujud. Kita mungkin tidak tahu siapa sebenarnya yang betul. Sikap berdiam diri itu akan menyelamatkan kita daripada fitnah yang lain.

5. Jangan mengelak kerja.

Ini yang kita perlu elakkan. Belajarlah menerima dahulu. Selepas itu baru berbincang dengan pihak tertentu berkaitan tugasan. Mungkin ia tugasan baharu, maka kita perlu belajar dengan guru yang berpengalaman. Mengelak kerja bukan sahaja mengundang rasa meluat di hati orang lain, malah boleh menyebabkan prestasi kita kurang baik.

6. Pastikan waktu datang dan balik kerja mengikut peraturan sekolah.

Perkara ini juga turut dinilai dalam organisasi. Jangan kita tersenarai dalam golongan yang sering datang lewat tanpa sebab. Orang baharu perlu menunjukkan sikap yang baik di tempat baru. Jika tidak, kita akan jadi bahan gosip di sana.

7. Masuk kelas tepat pada masanya dan mengajarlah dengan penuh kesungguhan.

Orang baharu jangan ambil remeh akan perkara ini. Banyak mata yang sedang memandang kita. Tunjukkan kita ini orang yang amanah dalam bekerja. Pelajar sedang menilai kita dan mereka pasti akan menyebut siapa kita di belakang kita.

8. Terima seadanya apa yang kita terima di sana.

Kadang-kadang kita rasa kurang selesa berbanding di tempat lama. Tetapi kita perlu faham bahawa kita ini orang baharu. Mungkin untuk sementara waktu, hanya itu yang ada. Mungkin juga kita terpaksa mengambil alih kelas yang bermasalah. Oleh kerana kita orang baharu, kita yang perlu menerimanya. Begitulah adat menjadi orang baharu. Ambillah ia sebagai pengalaman baharu dalam hidup kita. Jangan merungut. Fikir solusi untuk menghadapinya. Apa yang pasti, lambat-laun kita akan dapat menyesuaikan diri dan satu hari kita akan mendapat keselesaan dan dipermudahkan dalam tugasan kita.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

9. Sampaikan suara hati kita dengan berhati-hati

Orang baharu kadang-kadang diberi pelbagai kerja. Perkara ini mungkin tidak disedari oleh pihak pengurusan. Apa yang terbaik jika kita rasa beban kerja sudah terlalu banyak, bawalah kepada pengetahuan mereka. Sampaikan kepada mereka secara baik supaya mereka boleh memahami apa yang kita maksudkan. Kita perlu faham, dalam keadaan tertentu, kita perlu belajar mengatakan tidak. Bukan kita mahu mengelak kerja, tetapi kerja yang ada sudah cukup banyak dan membebankan kita. Bagaimana jika mereka tidak mahu mendengarnya? Bersabarlah. Ingat, kita ini orang baharu dan kita ada nilai diri. Jangan sampai tindakan kita menyebabkan nilai diri kita menjunam di mata orang, sedangkan kita hanya bertindak untuk hak kita di dalam organisasi. Apa yang penting, kita sudah menyampaikan, selebihnya, serahkan kepada-Nya.

10. Elakkan berada dalam kumpulan yang dominan, sebaliknya bergaullah dengan semua orang.

Inilah kesilapan yang sering kita buat sebagai orang baharu. Kumpulan yang dominan dalam organisasi, belum tentu kumpulan yang baik. Mereka memang mencari pengaruh dan kita jangan terperangkap dalam permainan mereka. Jadilah orang yang neutral. Ke mana pergi, diterima, disenangi dan disegani.

Wallahua’lam.

Sumber: Facebook Razali Saaran

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan