Terpilih sebagai Felo Perdana, 4 anak muda Malaysia tidak sabar berkhidmat untuk negara
Terpilih sebagai Felo Perdana, 4 anak muda Malaysia tidak sabar berkhidmat untuk negara

Terpilih sebagai Felo Perdana, 4 anak muda Malaysia tak sabar berkhidmat untuk negara

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
21 Jul 2022 04:17pm

Terpilih sebagai Felo Perdana semestinya menjadi impian ramai pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

Ini kerana, bukan calang-calang individu yang dapat berkhidmat sebagai Felo Perdana ini. Hanya yang cemerlang dan berbakat sahaja akan dilantik untuk menimba pengalaman secara langsung dalam urusan tadbir negara.

Bagi empat pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) iaitu Ng Choon Kiat, Aiman Nadim Joehaimi, Nur Haziqah Kamaruzzaman dan Muhammad Iqhwan Madzli, pemilihan sebagai Felo Perdana dilihat sebagai ‘pucuk dicita, ulam mendatang’ buat mereka.

Mana tidaknya, daripada 1,500 pemohonan untuk menjadi Felo Perdana, nama mereka yang ‘naik’. Memang betul-betul rezeki.

Baru-baru ini, Sinar Bestari berpeluang menemubual Choon Kiat dan seorang rakannya, Muhammad Iqhwan yang terpilih mengikuti program Felo Perdana dan Felo Korporat 2022 bermula 13 Julai lalu hingga 31 Disember depan.

Choon Kiat yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL), UUM yang akan menjadi Felo Perdana kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dia akan memanfaatkan peluang berkhidmat dengan pemimpin negara dan akan menggalas segala tanggungjawab yang diberikan sebaik yang mungkin.

Pelajar cemerlang ini sangat berharap sepanjang lima bulan berada di sana, dia dapat belajar pelbagai ilmu yang berkaitan dengan tadbir urus kerajaan.

Choon Kiat

Bagi Muhammad Iqhwan yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Hal Ehwal Antarabangsa, UUM pula, program Felo Perdana sangat bermakna buat mereka yang berada di menara gading.

“Felo Perdana memberi pendedahan awal kepada pelajar seperti kami untuk mengikuti dan mengenali sistem pentadbiran kerajaan khususnya dalam pembuatan dasar di peringkat nasional yang lebih komprehensif.

“Pelajar yang menjadi Felo Perdana ini akan ditempatkan bersama mentor menteri masing-masing yang kemudian memberi pendedahan mengenai hakikat sebenar dilakukan seorang menteri misalnya cara menyelesaikan masalah, menggubal dasar dan tadbir urus serta lain-lain lagi.

“Secara jujurnya, saya sangat gembira dan bangga atas pemilihan sebagai Felo Perdana. Insya-ALLAH, saya akan melakukan tugasan penting seperti membuat laporan dan dokumentasi berdasarkan isu semasa yang dibahas serta banyak lagi dengan bersungguh-sungguh,” kata Muhammad Iqhwan yang menjadi Felo Perdana kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Muhammad Iqhwan

Aiman Nadim

INFO

Apa itu Felo Perdana?

- Felo Perdana merupakan program yang memberi peluang bagi siswazah dan graduan cemerlang untuk bekerja sebagai ‘intern’ atau pembantu sementara kepada menteri-menteri Kabinet termasuk Perdana Menteri.

- Felo akan didedahkan pelbagai aspek kepimpinan kerajaan melalui seorang menteri yang akan menjadi mentor kepada Felo yang terpilih berdasarkan keputusan akademik, kegiatan kokurikulum dan rekod kepimpinan mereka.

Ciri-ciri ideal peserta Program Felo Perdana

- Sebagai pemimpin masa hadapan, peserta Felo Perdana mestilah mempunyai minat yang mendalam terhadap dasar-dasar awam dan hal ehwal semasa.

- Felo Perdana direka bentuk untuk memberi peluang kepada pelajar luar biasa yang ingin menjadi sebahagian daripada proses pembangunan negara sambil mengasah kemahiran kepimpinan mereka di peringkat tertinggi kerajaan.

Faktor sertai program Felo Perdana

- Ini merupakan masa dan peluang yang terbaik untuk golongan muda rakyat Malaysia menonjolkan diri dan melibatkan diri secara peribadi dalam kepimpinan negara.

- Malah ia juga merupakan peluang yang sangat berharga bagi golongan muda Malaysia menyumbang kepada pembangunan negara.

Syarat-syarat menyertai program

- Program Felo Perdana terbuka kepada semua pelajar yang mendaftar di IPT tertakluk kepada keperluan yang digariskan di bawah.

a) Calon mestilah bersedia untuk meluangkan masa sekurang-kurangnya enam minggu untuk mengikuti program tersebut.

b) Calon mestilah seorang warganegara Malaysia

c) Calon mestilah seorang mahasiswa di IPT, sama ada di dalam atau luar negara

d) Calon perlu mempunyai rekod akademik yang kukuh

e) Calon haruslah boleh berkomunikasi secara efektif

f) Calon mestilah bergiat aktif dalam aktiviti kurikulum

g) Calon harus menunjukkan kebolehan sebagai pemimpin

h) Calon mestilah berusia 30 tahun ke bawah

Artikel berkaitan 

Inilah anak-anak Malaysia yang genius! Hadiahkan 6 anugerah untuk negara. Luar biasa

Rahsia 4 kali terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

Kecemerlangan murid SK Pendidikan Khas Miri cerminan penglibatan aktif ibu bapa dan komuniti


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp
Artikel Disyorkan