HomeKomunitiTingkatkan kehebatan otak kanan anak di rumah masa PKP pandemik Covid-19

Tingkatkan kehebatan otak kanan anak di rumah masa PKP pandemik Covid-19

Pernahkah anda sebagai ibu bapa terfikir bahawa seseorang yang hebat dan terkenal adalah terdiri daripada orang yang menggunakan otak kanan.

Kebanyakan orang yang yang menggunakan otak kanan berfikir dan bertindak berbeza dengan orang yang menggunakan otak kiri.

Antara ciri-ciri otak kanan ditemui pada orang menggunakan tangan kidal, menggunakan otak kanannya untuk berfikir. Kalau anda perhatikan banyak orang kidal hebat dan cemerlang berbanding dengan rakan-rakan yang menggunakan tangan kanan. Orang yang menggunakan otak kanan sukar difahami dan sering di salah faham. Biasanya orang yang menggunakan otak kanan tinggi imaginasinya, sebagai contoh Isaac Newton, Albert Eistein, dan Leonardo da Vinci.

Fungsi Otak kanan:

  • Mengawal bahagian tubuh
  • Personaliti
  • Bentuk 3 dimensi
  • Muzik dan seni
  • Subjektif
  • Imaginasi
  • Intuisi
  • Kreativiti
  • Fantasi
  • Emosi

Apakah fungsi otak kanan?

Sejauh mana hebatnya otak kanan? Berdasarkan kajian terkini di Amerika Syarikat membuktikan 94 hingga 96 peratus adalah tanggungjawab otak kanan dalam menjadikan seseorang itu hebat berbanding peranan otak kiri adalah empat (4) hingga enam (6) peratus. Daripada segi kapisiti kemampuan otak, otak kanan mempunyai 90 peratus berbanding otak kiri 10 hingga 12 peratus.

Fungsi utama otak kanan adalah mengawal bahagian tubuh kita terutamanya bahagian kiri badan seperti saraf sensori dan pergerakan tubuh, serta kesedaran akan anggota tubuh. Selain itu ia berfungsi menjadikan kita kreatif, daya cipta, imaginasi, berpesonaliti, inovasi, dan empati yang menjadi indikator seseorang yang hebat.

Bagaimana ibu bapa boleh melatih otak kanan kanak-kanak?

Kita mempunyai cara berfikir yang berbeza, namun cara berfikir kita boleh dilatih. Begitu juga dengan kanak-kanak, kemahiran menggunakan otak kanan mereka perlu dilatih dalam pembelajaran tidak formal dan kehidupan harian mereka.

Lima tip asas melatih otak kanan dengan melatih anak-anak lebih mementingkan cara berfikir untuk bertindak, dan mengambil risiko untuk mencuba.

1) Cara untuk mengaktifkan otak kanan dengan melatih anak-anak menggunakan tangan kiri

i.Left-handed handling (Buat sesuatu dengan menggunakan tangan kiri)
ii.Left-handed brushing (Gosok gigi dengan tangan kiri)
iii.Left-handed writing (Tulis nama dengan tangan kiri)
iv.Left-handed signing (Buat tanda tangan dengan tangan kiri)

Aktiviti-aktiviti ini membantu otak anak-anak anda maksimumkan penggunaan otak kanan mereka, berfikir secara terbalik dan bertentangan dengan kebiasaan mereka. Ibu bapa perlu melatih anak-anak sukakan perubahan, berfikir di luar kotak, dan berfikir secara berlawanan dengan kebiasaan biasa. Binakan budaya usahawan dalam kehidupan mereka dengan berfikir secara dinamis, berusaha untuk perubahan.

2) Cara melatih otak kanan dengan memupuk kreativiti kanak-kanak

Ibu bapa boleh melatih anak-anak dengan melakukan aktiviti-aktiviti di rumah yang berasaskan kreativiti. Antara aktiviti adalah melatih kemahiran motor halus kanak-kanak seperti menulis, melukis, melakar, dan merasa dengan sentuhan. Ibu bapa boleh melatih anak-anak mereka menggambarkan apa yang akan dilukis, membiasakan mereka dengan aktiviti yang baru melalui fotografi atau imaginasi dan seterusnya meminta mereka menulisnya. Aktiviti-aktiviti ini mengasah otak kanan kanak-kanak berfikir idea baharu yang mungkin mudah bagi anda tetapi hebat bagi kanak-kanak, ini adalah latihan otak kanan.

3) Cara melatih otak kanan dengan melakukan hobi atau perkara yang disukai anak

Pastikan setiap kanak-kanak ada hobi seperti bermain permainan video, bersukan (bermain bola, hoki, badminton, berbasikal, silat, karate) atau memasak, aktiviti luar, dan sebagainya . Hobi dikaitkan dengan melakukan sesuatu yang seseorang suka, yang datang daripada keinginannya sendiri, dan secara suka rela. Hobi membina kesabaran individu, lebih fokus, dan kreatif. Ibu bapa boleh melatih otak kanan anak-anak melalui hobi yang anak-anak kita suka. Secara tidak sedar ketika mereka melakukan hobi, mereka melakukannya dengan senang hati, dan penuh tumpuan. Hobi ini sangat berpotensi melatih otak kanan kerana sangat berkait erat dengan kreativiti.

4) Cara melatih otak kanan dengan aktiviti spontan atau kelakar

Banyak program spontan dan kelakar dalam televisyen kita hari ini yang amat membantu anak-anak kita menggunakan otak kanan. Aktiviti-aktiviti ini perlu dilatih dan dibiasakan, tontonan aktiviti ini menjadikan kanak-kanak ceria. Mereka yang ceria mampu memikirkan idea-idea yang kreatif. Dapat kita lihat di sekitar kita orang-orang yang selalu ceria adalah orang yang suku humor dan berjenaka. Orang yang kuat otak kanannya selalu berfikir ke depan, mencari idea-idea baru.

5) Cara melatih otak kanan dengan muzik

Secara semulajadi kanak-kanak suka muzik. Kehidupan kita dipenuhi dengan irama dan muzik menjadikan irama lebih indah. Dengan melatih kanak-kanak cintakan muzik, ia membantu merangsang mereka mengimaginasi. Lirik-lirik lagu yang indah, irama yang penuh dengan seni membantu menenangkan emosi. Ungkapan perasaan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata dan hanya bisa diungkapkan melalui lirik-lirik lagu. Orang yang kuat otak kanannya selalu berimaginasi dan mendapatkan idea dengan muzik.

6) Cara melatih otak kanan dengan membaca al-Quran

Ayat-ayat dalam al-Quran bermula dari kanan ke kiri, berlawanan dengan tulisan rumi Kalau kita membaca al-Quran ia akan melatih penglihatan kita dari kanan ke kiri. Kedudukan tulisan berbeza dengan tulisan latin biasa akan merangsang pemikiran untuk berfikir dalam arah bertentangan daripada biasa. Ternyata hal itu dapat dijadikan terapi otak kita, iaitu melatih kemampuan otak kanan. Kelancaran kanak-kanak membaca al-Quran dari kanan ke kiri akan membantu pemikiran anak-anak bertindak dengan cepat.
Kesimpulannya, otak kanan boleh dilatih, ibu bapa boleh menggunakan masa pandemik Covid-19 ini untuk melatih anak memaksimumkan penggunaan otak kanan. Orang yang lebih dominan menggunakan otak kanan cenderung melihat secara keseluruhan situasi dan menggunakan intuisi untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

Maklumat Penulis
Profesor Madya Dr Nordin Mamat
Pensyarah Kanan
Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak
Fakulti Pembangunan Manusia
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Tanjong Malim Perak
Penulis juga Pengerusi Bersama Sub-Kluster Pendidikan Awal Kanak-kanak,
Akademi Profesor Malaysia.