tok janggut
tok janggut

Tok Janggut Penderhaka British, Pahlawan Melayu yang disanjung, mempertahankan Kelantan hingga terkorban

Rasyidah Zulkifi
30 Aug 2022 02:29pm
A
A
A

Mohd Hassan Munas atau lebih dikenali sebagai Tok Janggut adalah seorang ulama dan pahlawan Melayu yang sanggup menggadai nyawa menentang British di tanah kelahirannya, Kelantan.

Dilahirkan pada tahun 1850 di mukim Heram, Pasir Puteh, Kelantan, Tok Janggut adalah antara penentang British pada awal 1900-an di Kelantan, semasa berlakunya Perang Dunia Pertama antara tahun 1914 dan 1918.

Menurut penyelidikan yang pernah dibuat, Tok Janggut yang dianggap penderhaka oleh British sebenarnya pejuang tanah air yang disanjung tinggi walaupun tahu penentangannya akan berakhir dengan maut.

Beliau yang mempunyai sifat suka menolong orang juga dikhabarkan menentang British yang ketika itu mengamalkan sikap orientalis dengan menguasai pihak istana.

Melalui penyelidikan lain yang dibuat turut menyatakan Tok Janggut telah diberikan tugas oleh Engku Besar Tun Ahmad untuk menjaga daerah Jeram iaitu daerah jajahan Pasir Puteh yang aman dan damai sebelum dijajah British.

Kedatangan penjajah telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan penduduk Kelantan, disebabkan pelbagai jenis cukai baharu telah diwujudkan dan ini membebankan penduduk.

Tentangan penduduk jajahan Pasir Puteh ini turut menyebabkan British meminta Sultan Muhammad IV ketika itu yang dikenali sebagai Salleh digantikan dengan Latiff yang berasal dari Singapura.

Sepanjang memerintah berpandukan nasihat British, Latiff kemudiannya memperkenalkan beberapa jenis cukai buah kelapa dan cukai pokok buahbuahan selain undang-undang yang digubal amat ketat.

Tidak pernah ingkar dengan arahan pembayaran cukai tersebut, malah Tok Janggut serta pengikutnya telah pergi membayar cukai di pejabat jajahan, namun akibat layanan buruk yang diterima, ia membuatkan mereka tidak mahu membayar cukai lagi.

Sejak itu, Tok Janggut dan pengikutnya mengapi-apikan penduduk Pasir Puteh agar jangan membayar cukai membuatkan British termasuk Latiff marah.

Akibatnya, mereka semua menerima surat saman untuk dibicarakan di mahkamah, namun tidak dihiraukan.

Kebangkitan meletus

Pada April 1915, Tok Janggut memimpin gerakan menentang peraturan baharu yang diperkenalkan oleh British di Pasir Puteh dan mendapat sokongan Engku Besar, Haji Said dan Ishak.

Kejatuhan kedudukan Engku Besar Jeram yang berpengaruh juga mendorong kepada meletusnya penentangan Tok Janggut hinggakan tugas pembesar daerah diambil alih oleh Ketua Jajahan sejak koloni Pasir Puteh dibentuk pada tahun 1904.

Pada 29 April 1915, Sarjan Che Wan telah ditugaskan untuk menangkap Tok Janggut, malangnya polis tersebut dibunuh oleh Tok Janggut dan ketika itu bermulalah gerakan bersenjata untuk melakukan penentangan terhadap British.

Pihak Inggeris yang bertambah marah bertindak menyuruh Sultan Kelantan mengeluarkan notis pemberitahuan agar Tok Janggut, Engku Besar, Haji Said Nering, Tok Penghulu Adam dan Ishak Marbul menyerah diri, di samping menawarkan sejumlah wang kepada sesiapa yang berjaya menangkap kesemuanya.

Pada masa sama, British juga meminta pertolongan daripada pemerintah Inggeris di Singapura untuk menentang serangan rakyat tempatan.

Tok Janggut tidak berdiam diri dan telah meminta penduduk berhimpun serta bersedia dengan senjata.

Atas usaha gigih, lebih kurang 1,000 orang kampung telah dikumpulkan sebagai askar, kemudiannya mereka membina kubu di dalam sawah di Kampung Saring.

Penasihat British di Kelantan, J David Mission menulis surat untuk memberitahu hal itu kepada Gabenor Inggeris di Singapura, Kapten Sir Arthur Henderson Young.

Rentetan itu, Sir Arthur telah menghantar 150 orang askar ke Kota Bharu dan Pasir Puteh selama empat hari bermula 10 Januari 1915 untuk menjejaki Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya, namun gagal.

Terbunuh

Setelah askar British di Singapura pulang ke Kota Bharu, Tok Janggut dan 1,000 orang askar tempatan keluar dari kubu dan mula mengatur rancangan untuk menentang pihak Inggeris.

Antaranya, menawan balai polis di Pasir Puteh dan menubuhkan kerajaan sementara di mana Engku Besar menjadi Raja, Tok Janggut sebagai Perdana Menteri, timbalannya, Haji Said Nering dan Ishak Marbul sebagai Ketua Jajahan.

Namun begitu, kerajaan sementara ini hanya bertahan selama tiga hari kerana Pasir Puteh ditawan semula oleh pihak Inggeris apabila Sultan Kelantan meminta bantuan askar dari Singapura, askar Sepoi dari Taiping dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu iaitu Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang.

Dari situ bermulalah satu pertarungan hebat dan kerajaan yang dibina Tok Janggut terpaksa mundur kerana askar Inggeris dilengkapi senjata moden.

Begitupun, Tok Janggut tidak berputus asa dan pada Jun 1915, beliau serta pengikut-pengikutnya menyerang semula Pasir Puteh.

Dalam siri pertempuran ini ramai pengikut beliau yang terbunuh dan peperangan tamat apabila Tok Janggut akhirnya terkorban.

Mayat beliau telah digantung songsang dan diarak sekeliling bandar Kota Bharu sebelum dikebumikan di Seberang Sungai, Pasir Pekan.

Artikel berkaitan 

Wartawan RTM kongsi pernah kecewa SPM

5 kebaikan mempelajari seni mempertahankan diri untuk pelajar sekolah

Selain Mat Kilau, 5 lagi Pahlawan Tanah Melayu yang perlu generasi muda kenali


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan