6DAE286C-60FA-4D87-A795-6EC400D508D5
6DAE286C-60FA-4D87-A795-6EC400D508D5

Wartawan RTM kongsi pernah kecewa SPM

Rasyidah Zulkifi
25 Mar 2022 02:25pm
A
A
A

Pelbagai perasaan dirasai oleh Editor Tugasan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Faisal Jamal apabila telah memperolehi Sarjana Komunikasi Korporat pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) kali ke-45 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), baru-baru ini.

Menurut Faisal, beliau melalui liku-liku kehidupan yang mencabar sepanjang perjalananya menuntut ilmu.

“Hari ini saya seperti tidak percaya telah tamat Master Komunikasi Korporat sedangkan saya gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tidak mahu belajar selepas itu,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) itu berkata, beliau menjadikan kegagalan semasa SPM sebagai kebangkitan buatnya untuk berusaha melakukan yang lebih baik.

Mengimbas kembali, jelasnya ketika menyambung pengajian peringkat diploma di Akademi TV3, arwah bapanya telah membuat pinjaman bank kerana pada waktu itu tiada pinjaman pelajaran.

Faisal bersyukur akhirnya dapat menamatkan sarjana dengan jayanya.

Selepas tamat peringkat diploma, Faisal ingin menyambung pengajian di peringkat ijazah.

“Nak sambung ijazah duit dah tiada, kemudian masuk alam pekerjaan.

“Saya alami jatuh bangun dan turun naik ketika sambung di universiti awam buat Pengajian Luar Kampus (PLK),” ujarnya.

Bagaimanapun, PLK beliau hanya separuh jalan.

Pemuda ini kemudian menyambung Pengajian Jarak Jauh (PJJ) di sebuah universiti swasta pula. Namun, usahanya tidak mencukupi.

Pun begitu, Faisal tidak berputus asa lalu bertekad untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana muda di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Usaha mula membuahkan hasil apabila beliau berjaya menamatkan pengajian seperti yang diimpikan.

Selepas tamat sarjana muda di UPM, Faisal tidak berhenti setakat di situ.

Beliau kemudian menyambung pelajaran ke peringkat sarjana pula di universiti yang sama.

Walaupun melalui pelbagai dugaan sebagai mahasiswa, beliau akhirnya berjaya bergraduasi dengan segulung sarjana.

“Dalam dewan berkali-kali rasa sebak bila mengenangkan perjalanan hidup seharian.

“Ya, kini sesiapa pun boleh miliki sarjana, tapi bagi saya lain sekali rasanya,” katanya.

Faisal berasa terhutang budi dengan pengorbanan arwah bapanya, Jamal Ngadimin.

Menurutnya, sarjana tersebut merupakan penghargaan kepada sumber inspirasinya itu yang disanjung tinggi.

“Arwah ayah sekolah hanya Darjah Tiga, namun, tidak pernah putus harapan membina kehidupan yang baik untuk keluarga.

“Beliau pergi sewaktu saya baru ingin memulakan semester ketiga pengajian ‘master’, awal 2020.

“Alhamdulillah sedikit sebanyak terubat rasa ini, beliau ada ketika saya menerima sarjana muda,” ujarnya.

Faisal merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada RTM, rakan seperjuangannya, ahli keluarga, para pensyarah dan penyelianya Dr Syed Agil Alsagof kerana banyak membantunya sehingga ke hari ini.

Artikel berkaitan 

UPM perjelas isu kekeliruan bilangan graduan PhD

Penyelidik UPM hasilkan bekas makanan biodegradasi berasaskan sabut kelapa, optimum sisa pertanian

Pelajar terbaik kongsi rahsia skor 10A+ dan 9A+


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok