Tok Selehor, ulama sufi yang kental jiwa Melayunya
Tok Selehor, ulama sufi yang kental jiwa Melayunya

Tok Selehor, ulama sufi yang kental jiwa Melayunya

webadmin
21 Oct 2022 04:03pm
A
A
A

Tok Selehor merupakan seorang ulama yang telah memasyhurkan nama sebuah desa di jajahan Tumpat, Kelantan kerana ilmu pengetahuan yang disebarkan olehnya kepada para pelajar yang membina pondok-pondok pengajian di Kampung Selehor.

Nama penuhnya Tok Selehor ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Uthman bin Senik. Dilahirkan di Kampung Lubuk Jong, di pinggir Sungai Selehor pada tahun 1871.

Pada zaman itu di Kelantan, pengajian al-Quran dipandang suatu perkara yang amat mustahak, anak-anak muda yang tidak menghabiskan 30 juzuk al-Quran dipandang dengan suatu pandangan hina dan sukar mendapat pasangan.

Tok Selehor amat beruntung kerana bapanya seorang guru al-Quran yang menyebabkan beliau dapat menghabiskan pengajian al-Quran dengan didikan bapanya sendiri.

Haji Uthman bercita-cita agar anaknya menjadi seorang ulama, kerana pada pandangannya anak yang soleh itu dapat memberikan faedah besar kepadanya, sama ada ketika hidup dan setelah meninggal dunia.

Oleh kerana hasrat itulah, beliau telah menghantar anaknya mendalami bahasa Arab di bawah bimbingan Tuan Guru Haji Abdul Malek di Sungai Pinang, sebelum menyambung pengajian di Pattani, Selatan Thailand selama tujuh tahun.

Wilayah Pattani ketika itu amat masyhur sebagai pusat pengajian dan penyebaran Islam yang ulung.

Abdul Rahman sempat berguru dengan Tuan Guru Haji Abdul Rashid, di Kuala Bekah. Namun Haji Abdul Rashid ditangkap oleh kerajaan Thailand gara-gara kehebatan pengaruhnya.

Abdul Rahman kemudian menyambungkan pengajian di bawah seliaan Tuan Guru Haji Abdullah Bendang Jong, Tumpat. Demikian dinyatakan oleh Tuan Guru Haji Che Mamat Sharif, dari Kampung Kok Keli, Tumpat yang menjadi murid Tok Selehor selama lapan belas tahun.

Handal bermain senjata

Semasa belajar di Patani, beliau pernah berulang-alik ke Kelantan dengan berjalan kaki. Tok Selehor tidak takut kepada musuh dan penyamun yang berada di Bukit Tanjung dan sebagainya, kerana kehandalannya bersilat dan bermain keris.

Minatnya kepada seni silat menjalar kepada seni sastera sehingga Tok Selehor cenderung membaca buku sastera lama berbentuk syair seperti Hikayat Siti Zubaidah, Dandan Setia dan sebagainya. Beliau pandai membaca syair malah mengarang juga.

Tok Selehor membuka pondok pengajian pertamanya pada tahun 1918 (1340 Hijrah) di tepian Sungai Selehor.

Selepas beberapa tahun sahaja, pondoknya berkembang pesat kerana ramainya pelajar-pelajar dari dalam dan luar Kelantan dalam belajar.

Penuntutnya datang bukan sekadar anak tempatan bahkan dari Johor, Melaka, Pulau Pinang dan Pahang.

Ketokohan Tok Selehor turut memikat pencinta ilmu dari Palembang, Jawa dan Siak, Indonesia.

Beliau mempunyai kebolehan dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan, tetapi paling diminatinya ialah bidang tasawuf.

Kitab Hilam oleh Ibn `Ataillah merupakan kitab yang paling masyhur diajarkan kepada orang ramai, kerana isi kandungan kitab ini mendorong manusia memperbaiki dan mendampingi diri kepada ALLAH SWT serta menjauhi sifat-sifat keji seperti sombong, hasad dengki, riak dan sum’ah.

Dikritik pada zamannya

Tok Selehor pernah mengadakan perayaan Maulidur Rasul dan beliaulah ulama Kelantan yang mempelopori perayaan seperti itu.

Berzanji dan perarakan besar-besaran diadakan sehingga ribuan orang hadir ke majlis Maulid anjurannya.

Hal ini pernah dikritik oleh akhbar-akhbar zaman itu, tetapi beliau tidak berhenti kerana ingin menanam rasa cinta umat kepada Rasul.

Tok Selehor telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada malam Khamis 18 Zulkaedah 1353, bersamaan 20 Februari 1935, jam 8.30 malam pada usia 64 tahun.

Hari ini, pondok Tok Selehor yang bertempat di Kok Pasir, Tumpat, Kelantan merupakan pusat pengajian pondok yang sangat terkenal di negeri Kelantan dan Malaysia amnya.

Terletak di atas tanah seluas tiga ekar, pusat pengajian itu terkenal dengan tempat bersuluk (bersunyian dan menyendiri untuk merapatkan diri dengan ALLAH) iaitu satu tempat dalam tanah yang menyerupai sebuah kubur.

Keadaan itu dapat memberikan satu pengalaman yang benar-benar takutkan ALLAH dan alam akhirat.

Pusat pengajian pondok ini telah melahirkan ramai alim ulama yang terkenal di Kelantan dan negara jiran.

Dalam masa yang sama turut memberikan kemudahan penempatan kepada anak-anak yatim dan orang-orang tua.

Sumber: Sinar Islam

Artikel berkaitan 

Tak sangka ini cara Imam Syafii lakukan dalam mengajar murid slow learner. Jadi inspirasi ramai

Jangan abaikan 7 tip penting ini untuk menjadi guru yang cemerlang

Dura Adibah, pelajar UTHM raih pengiktirafan di Korea atas perkongsian keunikan budaya Malaysia


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan