17 Kor SISKOR UUM kutip pengalaman berharga menerusi Kem Pemantapan Jati Diri
Seramai 17 ahli Kor Sukarelawan Siswa Siswi Koreksional (SISKOR), Universiti Utara Malaysia (UUM) mengikuti Kem Pemantapan Jati Diri di BBC Campsite, Kangar, Perlis, baru-baru ini.
Kem Pemantapan Jati Diri itu bertujuan memupuk semangat kerjasama, menanam nilai keprihatinan terhadap orang awam dan mengaplikasikan pengetahuan kelangsungan hidup seperti yang dipelajari di dalam kelas.
Selain itu, kem juga memberi ruang kepada ahli Kor SISKOR mengikuti pelbagai aktiviti menarik setelah berpenat lelah mengikuti pembelajaran dalam talian sebelum ini.
Pengarah Program, Nur Aini Sofia berkata, kem yang berlangsung selama dua hari itu telah menjemput Pegawai Penjara Alor Setar, Kedah, Mohd Hanif Hafizri untuk berkongsi pengalamannya ketika bekerja di penjara.
Perkongsian sebegini penting dalam mendedahkan ahli Kor SISKOR mengenai organisasi penjara, sejarah dan kepentingannya terhadap pembangunan negara.
Sementara itu, seorang peserta, Nur Farisha Zainol berpuas hati dengan aktiviti yang disifatkan sebagai pengembaraan terbaik sepanjang pengajiannya di UUM selain merapatkan ukhuwah bersama rakan-rakan Kor SISKOR yang lain.
“Pengalaman paling sukar dilupakan apabila dapat merasai suasana desa di Kampung Chuping.
“Penduduk di sana melayan kami dengan penuh mesra dan menyediakan jamuan yang begitu menyelerakan,” ujarnya.
Bagi Jagadeesan Chandra Segaran pula, kem berkenaan memberi keterujaan padanya sekali gus meningkatkan tahap jati diri.
“Sepanjang aktiviti berlangsung, peserta dapat mempelajari erti semangat berpasukan walaupun menghadapi pelbagai rintangan.
“Bagaimanapun, dugaan itu tidak mematahkan semangat kami sebaliknya semua saling bantu-membantu termasuklah ketika aktiviti pemasangan khemah hingga ke pendakian,” ujarnya.