Mohd Foad (tiga dari kiri) menyampaikan surat tawaran bantuan Sulung 2.0 kepada pelajar di Auditorium SOIS, UUM, Kedah.
Mohd Foad (tiga dari kiri) menyampaikan surat tawaran bantuan Sulung 2.0 kepada pelajar di Auditorium SOIS, UUM, Kedah.

368 pelajar UUM terima bantuan Sulung 2.0

05 Feb 2024 10:40am
A
A
A

Seramai 368 pelajar menerima surat tawaran bantuan Sulung 2.0 iaitu bantuan untuk anak sulung memasuki universiti berupa pengecualian yuran sepanjang pengajian membabitkan kewangan sebanyak RM900,000.

Selain itu, pelbagai jenis sumbangan turut diberikan kepada pelajar termasuk sumbangan syarikat korporat seperti Agensi Kinrara, Maybank, bantuan kewangan orang kurang upaya (OKU), bantuan sara hidup Program Iqra‘, bantuan banjir, bantuan komputer riba dan sumbangan Paynet Malaysia.

Naib Canselor, Profesor Dr Mohd Foad Sakdan berkata, pihak pengurusan UUM amat menitik berat kebajikan mahasiswa dari pelbagai peringkat untuk memastikan pelajar dapat meneruskan pengajian dengan baik dan lancar.

“Saya berharap pelbagai jenis bantuan lagi boleh disalurkan kepada pelajar UUM terutama untuk pelajar B40 dalam memastikan mereka dapat belajar dengan sempurna, tanpa perlu memikirkan hal-hal kewangan.

“Saya berharap, para pelajar dapat menggunakan sumbangan yang diberikan sebaik mungkin dan apabila berjaya kelak, berbaktilah kepada UUM,” katanya pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Bantuan Sulong 2.0 dan Bantuan Kebajikan Bersasar 1.0 Tahun 2024 UUM, baru-baru ini.

Majlis anjuran Jabatan hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM itu diadakan sempena penyerahan Surat Tawaran Bantuan Sulung 2.0 dan Bantuan Kebajikan Bersasar 1.0 Tahun 2024, selain menghimpunkan pelbagai jenis sumbangan secara bersasar 1.0.

Pelajar Sarjana Muda Teknologi Media, Ahmad Ariff Abdullah ketika ditemui bersyukur menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM500.

“Saya sangat teruja dan terharu dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu saya yang menanggung sepenuhnya pengajian setelah kematian ayah pada 19 Oktober tahun lalu,” ujar anak kelahiran Terengganu itu.

Artikel Berkaitan:

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kaunseling, Noor Ainey Taha pula menyambut baik usaha UUM yang menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada pelajar dan membantu lebih ramai pelajar B40 untuk meneruskan pengajian.

“Pada semester ini, saya telah mendapat tawaran sebagai penerima manfaat bagi program pembangunan siswa sulung 2.0 berbentuk bantuan yuran pengajian yang dapat mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Walaupun bantuan ini diterima pada tahun akhir pengajian, tetapi ia banyak membantu dalam menanggung kos pengajian dan memberi sokongan dari segi kewangan.

“Dengan situasi banjir yang menimpa di seluruh negara tahun lalu, saya turut menerima sumbangan bantuan banjir sebanyak RM300 setiap seorang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noor Ainey merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UUM di atas keprihatinan dalam menjaga kebajikan pelajar yang memerlukan sekali gus menyuntik semangat untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok