Sebahagian penerima bantuan Dermasiswa Maybank @ UniSZA, baru-baru ini.
Sebahagian penerima bantuan Dermasiswa Maybank @ UniSZA, baru-baru ini.

2 mahasiswa luah rasa gembira terima bantuan dermasiswa

ROSHLAWATY MD RAIEH
07 Feb 2023 05:58pm
A
A
A

“Saya bersyukur kerana terpilih sebagai penerima bantuan dermasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat membantu saya meneruskan pengajian di kampus ini,” kata mahasiswa Ijazah Sarjana Muda (ISM) Bahasa Inggeris Komunikasi, Nur Irdina Nakifla kepada Sinar Bestari.

Kongsi Nur Irdina, latar belakang keluarganya bukanlah dalam kalangan orang senang.

“Ayah hanyalah seorang nelayan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Ibu pula suri rumah sepenuh masa.

“Sebagai penuntut di kampus, banyak pakai duit. Oleh itu, bantuan dermasiswa ini sangat-sangat membantu saya meneruskan pengajian,” ujarnya sebak.

Nur Irdina merupakan salah seorang 25 penuntut UniSZA yang terpilih menerima bantuan dermasiswa.

Dermasiswa sumbangan Maybank kepada UniSZA itu bertujuan mendekati mahasiswa asnaf fakir, asnaf miskin, anak yatim piatu, keluarga B40 dan keluarga bermasalah yang tidak mampu menanggung kos pengajian dan sara hidup di universiti terbabit.

Naib Canselornya, Profesor Dr Fadzli Adam berkata, UniSZA berbesar hati dengan sumbangan berjumlah RM150,000 yang diberikan Maybank.

“Setiap mahasiswa terpilih akan menerima bantuan sebanyak RM6,000 seorang meliputi yuran pengajian, yuran kolej kediaman dan sara hidup selama dua semester.

Artikel Berkaitan:

“Kemudian, penerima akan dipantau pihak universiti dengan menyediakan program pembangunan akademik dan sahsiah supaya graduan yang dilahirkan seimbang dan holistik,” jelasnya pada Majlis Penyerahan Dermasiswa Maybank @ UniSZA, baru-baru ini.

Hadir sama, Bendahari UniSZA, Suhaili Mohd; Pengarah Kampus Besut, Profesor Dr Mohd Nordin Abdul Rahman; Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan, Muzafar Mohd Din; Pengarah Maybank Pantai Timur, Ahmad Farid Qoureshmi Md Daud dan Ketua Perbankan Peruncitan, Mat Zamri Hassan.

Sementara itu, seorang lagi mahasiswa, Amir Farhan Nordin yang turut menerima dermasiswa berkata, sumbangan tersebut amat bernilai buatnya dalam meneruskan hasrat murni menyambung pengajian di kampus tersebut.

“Gembira dan sebak kerana terpilih sebagai salah seorang penerima. Terima kasih kepada universiti dan saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh seterusnya mengharumkan nama keluarga, UniSZA dan negara,” ujar Amir Farhan yang kini mengikuti pengajian ISM Perhubungan Antarabangsa.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok