Dari kiri, Hao Wen dan Zhan How yang membangunkan Mini Pot mesra pengguna sebagai titik permulaan mudah sesuai untuk semua peringkat.
Dari kiri, Hao Wen dan Zhan How yang membangunkan Mini Pot mesra pengguna sebagai titik permulaan mudah sesuai untuk semua peringkat.

2 pelajar UPM cipta Mini Pot, tingkat minat pertanian bandar

23 Sep 2025 08:30am

Menanam sendiri bukan lagi sekadar hobi, tetapi strategi hidup untuk generasi masa depan.

Ketika populasi bandar terus berkembang dan kebergantungan terhadap bekalan makanan luar kian meningkat, inisiatif pertanian berskala kecil di kediaman menjadi semakin relevan dalam usaha menjamin keperluan asas makanan yang selamat, segar dan berkhasiat.

Melihat potensi tersebut, dua pelajar Tahun 2, Bacelor Teknologi Pertanian Pintar, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Yap Zhan How dan Teng Hao Wen tampil dengan Mini Pot, produk di bawah jenama Vermacres yang dibangunkan sendiri bagi menggalakkan amalan pertanian mesra alam dalam ruang kediaman yang terhad.

Mini Pot merupakan kit tanaman lengkap yang mengandungi media semula jadi seperti cocopeat dan vermikompos bersama benih empat jenis tumbuhan pilihan iaitu lavender, gypsophila, cat grass dan mosquito repellent grass.

Menurut Zhan How, idea penghasilan Mini Pot tercetus daripada minat mendalam mereka terhadap bidang pertanian dan keinginan untuk memperkenalkan produk yang menyokong gaya hidup lestari serta praktikal di kawasan bandar.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

"Kami mahu hasilkan produk yang bukan sahaja memudahkan orang ramai bercucuk tanam dalam ruang terhad, tetapi untuk mendidik masyarakat tentang pentingnya amalan hijau.

"Mini Pot direka sebagai titik permulaan yang mudah, mesra pengguna dan sesuai untuk semua peringkat," katanya.

Rakannya, Hao Wen pula berkata, media tanaman yang digunakan dibangunkan melalui proses vermicomposting iaitu kaedah penguraian sisa makanan seperti sayur dan buah menggunakan cacing African Night Crawlers untuk menghasilkan baja organik berkualiti tinggi.

"Vermikompos bukan sahaja membekalkan nutrien semula jadi kepada tanaman, malah membantu mengurangkan pembaziran makanan harian. Ia merupakan baja yang selamat, efektif dan menyuburkan tanah secara semula jadi," katanya.

Ujarnya, pemilihan empat jenis tanaman tersebut dibuat berdasarkan fungsi dan nilai tambah masing-masing.

Lavender menghasilkan aroma menyegarkan, cat grass membantu sistem penghadaman kucing, gypsophila popular sebagai hiasan dan hadiah manakala mosquito repellent grass bertindak sebagai agen semula jadi mencegah serangga.

"Mini Pot turut menyediakan kod QR dalam setiap unit yang menghubungkan pengguna kepada tutorial penanaman, panduan penjagaan serta komuniti atas talian yang aktif.

No Image Caption

"Komuniti ini berperanan sebagai ruang sokongan bagi pengguna berkongsi perkembangan tanaman, memberi maklum balas dan bertanya soalan secara langsung," katanya.

Selain itu, matlamat mereka adalah untuk menjadikan pengalaman bercucuk tanam ini lebih inklusif, menyeronokkan dan boleh diakses oleh semua golongan, tidak mengira atau latar belakang.

Namun, proses pembangunan Mini Pot turut berdepan pelbagai cabaran termasuk kekangan kewangan, penyelenggaraan cacing yang sensitif terhadap suhu serta had dari segi pemasaran kerana segala proses dijalankan sepenuhnya oleh mereka berdua.

Walaupun mereka berdepan pelbagai kekangan, mereka yakin Mini Pot boleh memberi manfaat dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menanam sendiri dan mengurangkan sisa makanan.

Dalam pada itu, mereka berharap usaha kecil yang dilakukan ini dapat mencetuskan perubahan besar dalam cara masyarakat melihat pertanian serta menyumbang ke arah keterjaminan makanan negara yang lebih lestari.

 

 

Ringkasan AI

  • Menanam sendiri menjadi strategi hidup penting di masa depan
  • Dua pelajar UPM cipta Mini Pot, kit tanaman lengkap untuk amalan pertanian mesra alam
  • Mini Pot mengandungi media semula jadi dan benih empat jenis tumbuhan berfungsi
  • Media tanaman Mini Pot dibuat daripada proses vermicomposting untuk menghasilkan baja organik
  • Mini Pot dilengkapi dengan kod QR untuk panduan penanaman dan akses ke komuniti atas talian
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp