Zulfaqar Arief (kiri) dan Rohaini (kanan) bersama anugerah yang diterima pada Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-11 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Zulfaqar Arief (kiri) dan Rohaini (kanan) bersama anugerah yang diterima pada Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-11 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

2 penerima anugerah khas kongsi impian mahu buka ladang pertanian kelak

ROSHLAWATY MD RAIEH
23 Mar 2023 01:17pm
A
A
A

“Dua anugerah ini akan menjadi penyuntik semangat untuk saya terus melangkah lebih jauh dalam bidang penternakan,” kata penerima Anugerah Khas Pingat Emas Menteri dan Anugerah Khas Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Zulfaqar Arief Zolhaimi.

Beliau yang menerima anugerah tersebut pada Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-11 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya baru-baru ini, berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi semata-mata ingin mendalami dunia penternakan.

“Sekarang saya masih bekerja sebagai Penolong Pegawai Veterinar di Zoo Negara.

“Insya-ALLAH jika tiada aral melintang, saya akan mengikuti pengajian peringkat Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan di Universiti Putra Malaysia Bintulu, Sarawak. Mohon doakan kejayaan saya dalam bidang berkenaan,” ujar pemuda berusia 25 tahun yang berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,500 dan sijil penghargaan menerusi dua anugerah tersebut.

Selain Zulfaqar Arief, seorang lagi penerima iaitu Rohaini Mohd Salman Murugasoo turut menerima anugerah tertinggi dalam Majlis Konvokesyan Pertanian itu.

Rohaini yang merupakan graduan dari Institut Pertanian Titi Gantong, Perak telah dinobatkan penerima Anugerah Khas Ketua Pengarah Pertanian dan menerima wang tunai berjumlah RM1,000 beserta sijil penghargaan.

Rohaini yang kini Penolong Pengurus Ladang di sebuah syarikat tanaman pokok hiasan dan pembekal alatan pertanian berkata, dia meminati bidang pertanian sejak kecil.

“Saya melihat masa depan sangat cerah dalam pertanian. Justeru saya memasang impian untuk membuka sebuah ladang pertanian dengan elemen teknologi digital iaitu Internet of Things (IoT) pada masa akan datang,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-11 yang disempurnakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu meraikan seramai 629 graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing bagi tahun 2022.

Mereka terdiri daripada 101 graduan Diploma Kemahiran Malaysia, 306 graduan Sijil Kemahiran Malaysia, 156 graduan Sijil Pertanian, 45 graduan Sijil Veterinar Malaysia, 20 graduan Sijil Perikanan dan lapan penerima anugerah khas.

Sementara itu, Mohamad Sabu berkata, kadar kebolehpasaran graduan yang berjaya menamatkan pengajian di pusat-pusat latihan di bawah naungan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan secara puratanya mencapai antara 65 hingga 73 peratus.

“Peratusan tersebut merupakan data yang direkodkan dalam tempoh masa lima tahun dengan kadar kebolehpasaran terkini sehingga 28 Februari lalu mencatatkan 69.5 peratus graduan berjaya mendapat pekerjaan selepas bergraduasi,” katanya dalam sidang akhbar sejurus Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-11 berlangsung.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok