20 IPTA bakal nikmati program Menu Rahmah selepas Aidilfitri

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
07 Feb 2023 04:11pm
A
A
A

Program Menu Rahmah di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dijangka akan dilaksanakan selepas Aidilfitri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pada peringkat awal, program berkenaan akan dilaksanakan di 20 IPTA di sekitar Lembah Klang.

Tambah beliau, program itu akan diselaraskan oleh KPDN dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Perkara ini saya telah bincang dan menghubungi sendiri Menteri KPT, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan beliau sangat bersetuju untuk bersama-sama laksanakan program ini.

“Dari segi penyediaan tempat, itu adalah di bawah bidang kuasa KPT manakala menu di bawah KPDN.

“Apabila kedua-dua kementerian telah bersetuju untuk menyelaras, saya rasa ia boleh dilaksana selepas segala perancangan dibuat iaitu selepas Aidilfitri,” ujarnya pada sidang media selepas melancarkan Menu Rahmah di Samballana Bistro, di Johor Bahru, Johor, baru-baru ini.

Salahuddin menjelaskan, program itu juga dijangka akan diperluas ke institut pengajian tinggi swasta (IPTS).

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan satu sesi libat urus bersama rangkaian restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) dan McDonald’s pada minggu hadapan bagi pelaksanaan Program Menu Rahmah.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga akan buat libat urus dengan Persatuan Kedai Makanan Kaum Cina yang turut berminat dan bersedia untuk sertai program ini.

“Justeru, kami harap dengan libat urus yang dilakukan, program ini dapat terus diperluas,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok