FlexS bentuk budaya pendidikan pengajian tinggi
Wajah baharu bagi penerapan nilai luhur dan amalan baik dalam sistem pendidikan tinggi di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah mula digiatkan seawal 2017.
Gagasan Flexible Education With Soul (FlexS) merupakan satu solusi berstrategik yang mendokong pemapanan ekosistem pembelajaran UniSZA berteraskan nilai.
FlexS dibentuk secara bersepadu dan komprehensif ini adalah suatu pembelajaran berterusan yang melalui pelbagai proses dan tahap, perubahan masa dan tempat, pendekatan, kaedah pengajaran yang fleksibel bersesuaian dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat, secara anjal dan dinamik.
Usaha pengembelengan tenaga akademik dilebarkan dalam aktiviti bersama mahasiswa, warga kampus dan komuniti target dalam memberi faedah langsung dan tidak langsung kepada negeri, negara dan ummah seluruhnya.
FlexS turut merupakan komitmen UniSZA untuk mewujudkan suatu ekosistem pendidikan dan persekitaran (bi’ah) yang dinaungi nilai kerohanian atau metafizik bagi meningkatkan keyakinan diri dan membentuk personaliti unggul warganya.
Selaras dengan itu, dalam rangkaian pemantapan FlexS, terdapat empat tonggak utama yang ditekankan iaitu Akidah Sahih (Metafizik), Pemikiran Sahih (Saintifik), Sahsiah Mulia dan Budaya Kerja Profesionalisme.
Sebagai pendidik, kita bukan sahaja mengajar ilmu akademik, malah ia melangkaui dimensi lain bagi melahirkan dan memperkembangkan potensi individu yang seimbang dan holistik.
Roh sebagai seorang pendidik harus diterjemahkan kepada pelajarnya melalui sentuhan insani yang tidak mampu dibuat oleh mesin.
Modal insan yang kita lahirkan tidak seharusnya dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran semata-mata, tetapi juga mesti diperkukuhkan dengan akhlak yang terpuji dan nilai-nilai yang murni.
Aspek akhlak, budi pekerti, integriti, amanah dan nilai-nilai murni adalah komponen yang intrinsik yang amat penting dalam membina bangsa dan negara.
Untuk mencapai matlamat ini, UniSZA telah merangka empat teras strategi iaitu Gaya Hidup Sejahtera, Pengajaran dan Pendidikan (Ta’lim wa Tarbiyah), Hubungan Insaniah dan Murabbi Unggul.
1) Teras Gaya Hidup Sejahtera bertujuan memberi penekanan kepada empat ciri utama iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelektual.
2) Teras Pengajaran dan Pendidikan (Ta’lim wa Tarbiyah) melaksanakan penerapan nilai mulia dan tonggak FlexS dalam kurikulum, program kemahiran atau kepakaran bidang dan pembangunan pembelajaran sepanjang hayat berasaskan komuniti.
Teras ini juga memberi penekanan kepada ciri interaksi, kehidupan bermasyarakat dan penerapan nilai manusiawi.
3) Teras Hubungan Insaniah pula memfokuskan kepada pembangunan program sokongan FlexS dalam kemasyarakatan yang bersifat praktikal, program libatsama komuniti dalam pendidikan (SULAM) serta penerapan elemen Amalan Pendidikan Berimpak Tinggi (High-Impact Educational Practices-HIEPs) dalam kursus.
4) Teras Murabbi Unggul memainkan peranan berstrategik dalam membangunkan modul yang mampu melahirkan individu mursyid melalui pembentukan modul terarah iaitu mu’allim, muaddib, murabbi dan mentor-menti.
Antara program di bawah teras ini juga termasuklah penganjuran program latihan, kepakaran, coaching & mentoring yang bercirikan kepada konsep mu`allim, muaddib, musyrif, murabbi dan mursyid.
Sementara itu, agenda FlexS digiatkan menerusi forum, ceramah dan penggunaan media sosial untuk mempromosikan tentang FlexS.
Pada tahun ini, agenda FlexS dirancakkan lagi dengan pelbagai program antaranya Program Jelajah FlexS ke seluruh kampus dan Pusat Tanggungjawab UniSZA, Bicara Santai FlexS yang diadakan secara berkala, program Daurah FlexS berfokuskan kepada pembinaan warga akademik dan Nadwah FlexS memfokuskan pembinaan graduan.
Semoga pelaksanaan program FlexS dapat membentuk insan holistik dan menjayakan hasrat memastikan integrasi kecemerlangan Islam dan kontemporari terus subur di Dataran Abidin, UniSZA.
Maklumat Penulis
Pensyarah Universiti (Profesor Madya), UniSZA dan Felo Penyelidik ((INSPIRE), Profesor Madya Dr Berhanundin Abdullah
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my