20 mahasiswa UM ikuti program mobiliti RITMA ke Indonesia
Seramai 20 mahasiswa dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) telah menyertai Program Mobiliti bertemakan Rentas Ilmu dan Tamadun Melayu (RITMA) ke Padang, Indonesia baru-baru ini.
Turut serta dalam program yang berlangsung dari 30 Julai hingga 5 Ogos lalu adalah empat pensyarah dari akademi yang sama.
Menurut Pengarah Program, Nur Haadhinah Mohamad Zahid, objektif program adalah mengadakan perbincangan, perkongsian dan bertukar pandangan mengenai bangsa dan Bahasa Melayu di Nusantara.
Malah mereka juga berkongsi ilmu dalam dunia pendidikan kepada warga Universitas Andalas.
Selain bercerita tentang kepelbagaian maklumat, Nur Haadhinah berkata, peserta program juga berpeluang menyertai acara tarian, nyanyian dan puisi pada Pertandingan Festival Budaya Nusantara di Fakultas Ilmu Budaya, Universitas Andalas.
“Sangat seronok kerana dapat mengikuti pertandingan anjuran mereka.
“Sekurang-kurangnya kami dapat menimba banyak ilmu tentang cara mereka mengendalikan sesebuah pertandingan,” ujar Nur Haadhinah dengan menambah, delegasi UM mempersembahkan dikir kota sebagai acara penutup Pertandingan Festival Budaya Nusantara itu.
Akhir sekali, Nur Haadhinah berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mengeratkan dan menjalinkan hubungan dua hala dengan negara-negara jiran seperti Indonesia.
INFO
Program mobiliti yang diikuti penuntut memberi banyak manfaat kepada mereka.
Antara manfaat utamanya ialah mahasiswa dapat mempelajari pelbagai kemahiran baharu dalam bidang mereka sebagai nilai tambah kepada ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh di negara yang dilawati.
Di samping itu, penuntut juga dapat mempelajari budaya, nilai dan etika serta amalan positif dari negara luar sebagai panduan kehidupan seharian. Sudah semestinya pengalaman seperti ini akan meningkatkan keyakinan berkomunikasi dan mematangkan tahap pemikiran setiap graduan.
Lawatan ke negara terpilih pastinya akan membuka mata dan minda para penuntut untuk keluar dari zon selesa dan melihat gaya kehidupan masyarakat luar.