Mohd Noor Helmy (kiri) mengiringi Effie Rizal (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima Program Kembali Ke Sekolah 2024 oleh Theta Edge di Semabok, Melaka pada Khamis.
Mohd Noor Helmy (kiri) mengiringi Effie Rizal (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima Program Kembali Ke Sekolah 2024 oleh Theta Edge di Semabok, Melaka pada Khamis.

SMK Seri Duyong mula beroperasi Julai 2024

22 Feb 2024 06:23pm
A
A
A

Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Duyong yang mampu memuatkan kira-kira 900 pelajar dijangka siap selewat-lewatnya akhir Mac ini dan mula beroperasi pada Julai nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, sebagai permulaan sekolah itu akan menempatkan pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga, manakala pengambilan penuh pelajar Tingkatan Satu hingga Lima bermula tahun depan.

"Sebelum ini, dalam kawasan DUN Duyong terdapat tiga sekolah menengah iaitu SMK Tun Tijah, SMK Tinggi Perempuan Melaka dan Kolej Tingkatan Enam Tun Fatimah yang terletak agak jauh, selain kebanyakan penduduk terpaksa menghantar anak-anak ke sekolah di luar kawasan sini.

"Namun dengan adanya sekolah baharu ini, dapat menyelesaikan masalah penduduk khususnya dalam kawasan Duyong sendiri dan dalam masa yang sama meningkatkan lagi mutu pendidikan anak-anak di kawasan ini," katanya kepada pemberita di Semabok, Melaka pada Khamis.

Terdahulu beliau hadir pada Program Kembali Ke Sekolah 2024 melibatkan 200 murid oleh anak syarikat Tabung Haji, Theta Edge, yang turut dihadiri Ketua Perkhidmatan Teknologi Kumpulan Theta, Effie Rizal Mustafa Kama.

Mengulas lanjut, Mohd Helmy berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan negeri telah melantik pentadbir dan dalam proses melantik guru-guru di SMK Seri Duyong.

Sementara itu, Effie Rizal berkata, syarikat berkenan menyasarkan penyampaian sumbangan bantuan persekolahan kepada 750 pelajar bagi tempoh suku pertama tahun ini dengan peruntukan kira-kira RM75,000.

Program Kembali ke Sekolah itu katanya merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat kumpulan tersebut bagi membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

Artikel Berkaitan:

"Ini merupakan antara usaha bagi meringankan beban ibu bapa dan kami akan meneruskan usaha ini dengan memberi tumpuan bantuan berkaitan pendidikan," katanya. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok