Anugerah Kecemerlangan Akademik Yayasan Bank Rakyat diberikan kepada graduan yang memperoleh PNGK 3.5 ke atas.
Anugerah Kecemerlangan Akademik Yayasan Bank Rakyat diberikan kepada graduan yang memperoleh PNGK 3.5 ke atas.

200 graduan IPT terima Anugerah Kecemerlangan Akademik Yayasan Bank Rakyat

AZLEENDA SAHALUDIN
10 May 2024 02:31pm
A
A
A

Seramai 200 graduan institut pengajian tinggi (IPT) seluruh negara yang memperolehi pencapaian PNGK 3.5 ke atas menerima anugerah kecemerlangan dan diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Yayasan Bank Rakyat (YBR) 2023.

Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata, daripada jumlah itu seramai 187 graduan ijazah sarjana muda dan 13 graduan ijazah sarjana telah tersenarai menerima anugerah ini.

“Anugerah Kecemerlangan Akademik 2023 ini merupakan acara tahun ke-6 dibuat bagi menghargai dan memberi inspirasi kepada pelajar IPT yang mendapat keputusan akademik terbaik.

“Ia juga untuk menyokong agenda pendidikan negara dalam melahirkan modal insan mahir serta memberi motivasi kepada graduan untuk lebih berjaya selain membantu mereka yang telah berada dalam industri pekerjaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Yayasan Bank Rakyat 2023 pada Khamis.

Dalam majlis sama, YBR turut menyerahkan 25 komputer riba kepada pelajar cemerlang matrikulasi tajaan YBR yang terdiri dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) sebagai persediaan melanjutkan pengajian ke peringkat IPT.

Ia merupakan satu jalinan usaha bersama Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM) sejak tahun 2023 sebagai suntikan semangat pelajar-pelajar cemerlang matrikulasi yang kurang berkemampuan.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedict.

Sementara itu, Ewon berkata, insiatif yang dibuat oleh YBR ini sedikit sebabyak mendorong anak-anak muda untuk mencapai tahap pendidikan yang lebih tinggi dalam membina masa depan yang lebih gemilang.

Artikel Berkaitan:

“Anugerah ini membuka mata masyarakat tentang bantuan pendidikan di bawah YBR yang mampu memberi suntikan semangat kepada pelajar untuk berjaya di peringkat IPT.

“Justeru, terima kasih kepada YBR kerana sentiasa memberi komitmen yang berterusan dan membantu mereka yang memerlukan bagi memartabatkan pendidikan dalam negara,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok