
300 pelajar rasai suasana universiti awal dalam Mega Jelajah Siswa UM
Program Mega Jelajah Siswa Universiti Malaya (UM) menjadi platform terbaik dalam mendedahkan pelajar kepada dunia akademik dan kehidupan kampus yang sarat dengan peluang, cabaran dan inspirasi.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), UM, Profesor Dr Zamri Radzi, program itu memberi ruang kepada mereka untuk merasai sendiri suasana pembelajaran di universiti serta memahami hala tuju dan peluang kerjaya yang boleh di ceburi selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Saya amat berbangga melihat kejayaan Mega Jelajah Siswa UM kerana ia bukan sahaja memberikan pengalaman pembelajaran berharga, malah berpotensi melahirkan pemimpin masa depan negara.
"Dengan penyertaan 300 pelajar dari 30 sekolah sekitar daerah Gombak, Selangor, program ini berjaya menghubungkan mereka dengan komuniti akademik UM melalui pelbagai aktiviti yang berfokus kepada persediaan akademik dan eksplorasi kehidupan universiti," katanya.

Sementara itu,Pengarah projek, Nur Eliani Alias berkata, program bukan sahaja membantu pelajar memahami perjalanan akademik mereka selepas SPM, tetapi juga mengukuhkan semangat untuk terus berjaya dalam bidang sains dan matematik.
"Melihat pelajar teruja dan bermotivasi tinggi sepanjang program benar-benar memberi kepuasan.
"Saya berharap lebih banyak program seperti ini dapat diadakan untuk manfaat pelajar di masa akan datang," ujarnya.
Program Mega Jelajah Siswa UM bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar mengenali suasana kehidupan kampus, malah turut memperkenalkan mereka kepada pelbagai kemudahan dan keistimewaan yang ditawarkan oleh universiti berprestij itu melalui aktiviti lawatan kampus yang dirancang secara menyeluruh dan menarik.
Antara lokasi ikonik yang dilawati termasuk Perpustakaan Utama, Dewan Tunku Canselor (DTC) dan Kompleks Perdanasiswa.

Lawatan membuka peluang kepada pelajar untuk merasai sendiri suasana akademik dan kokurikulum di kampus sebenar.
Lebih istimewa, penganjuran pameran oleh 12 persatuan pelajar Fakulti Sains turut menjadi tumpuan dalam program berkenaan.
Melalui sesi interaktif dan demonstrasi menarik, peserta didedahkan kepada pelbagai bidang dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).