32 Pegawai Kadet Sispa hadiri Kursus Metodologi Latihan
Dalam usaha menjadi pegawai pasukan yang kompeten, seramai 32 Pegawai Kadet Sispa (PKS) dari Kor Sispa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor menghadiri penilaian Kursus Metodologi Latihan pada 6 dan 7 Januari lalu.
Kursus Metodologi Latihan yang diadakan di Fakulti Kejuruteraan UiTM itu merupakan salah satu daripada lima kursus yang wajib mereka ikuti sebelum ditauliahkan sebagai Leftenen Muda Pertahanan Awam (PA).
Ia merangkumi pelbagai metodologi latihan yang disesuaikan dengan keperluan khusus untuk melatih PKS mengasah kebolehan mengajar orang awam tentang ilmu PA.
Menurut PKS Kanan Zulyana Atira Zulkifli, penilaian dijalankan dalam bentuk pembentangan slaid mengajar dan menduduki ujian bertulis.
“Tujuan kursus adalah untuk melihat sejauh mana PKS mempunyai kemahiran mengajar seperti membuat balutan, ikatan, rawatan awal, luka dan kepatahan, melawan kebakaran serta lain-lain lagi,” ujarnya selaku pengarah program.
Sambung Zulyana Atira, Kursus Metodologi Latihan memerlukan PKS merancang dan melaksanakan satu Rancangan Semasa Pembelajaran (RSP) secara terperinci kerana ia salah satu kriteria wajib lulus dalam penilaian berkenaan.
Sementara itu, Leftenan Muda (PA) Mohd Jannatul Naim Baharudin berkata, Kor Sispa UiTM Shah Alam sentiasa komited menganjurkan pelbagai program seimbang merangkumi akademik dan kemahiran.
Ujarnya, semua program tersebut adalah bertujuan memastikan kesemua PKS bersedia menghadapi cabaran di alam pekerjaan nanti.