Dari Shah Alam ke Bangkok
Seramai 20 orang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam 2022/2023 dengan kerjasama Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Student Government Chulalongkorn University (SGCU) menganjurkan ASEAN Leadership BenchMax 2023 di Bangkok, Thailand.
Pengarah Program ASEAN Leadership BenchMax 2023, Nur Fatini Hazan berkata, objektif utama program yang berlangsung pada 26 hingga 30 Disember lalu itu untuk memenuhi visi UiTM ke arah Globally Renowned University (GRU) 2025 dalam aspek sains, teknologi, kemanusiaan dan keusahawanan.
Menurutnya, aspek kepimpinan juga diterapkan melalui penyantunan komuniti setempat seperti program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
"Pengisian ASEAN Leadership BenchMax 2023 termasuklah forum Empowering Leaders Towards Culturalism, Research, Innovation and Mental Well-Being yang memfokuskan aspek kebudayaan, penyelidikan, inovasi dan kesejahteraan mental.
"Sepanjang program itu, kami juga berkesempatan mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Kedutaan Malaysia di Thailand untuk mempelajari sistem pentadbiran di sana.
"Kami juga sempat memperkenalkan seni budaya negara kepada masyarakat tempatan melalui acara flashmob di Asiatique The Riverfront, Bangkok," maklumkan kepada Sinar Bestari baru-baru ini.
Sementara itu, kongsi Nur Fatini, program CSR iaitu Loving Hands Project telah dijalankan di mana para peserta menyantuni komuniti rumah anak yatim, Baan Hathairak seperti gotong-royong dan menyalurkan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian.
"Program ini memberikan pengalaman berharga kepada peserta dalam membentuk karakter dan jati diri yang holistik melalui penglibatan elemen pengucapan awam, perbincangan ilmiah, pertukaran budaya dan pemahaman sistem kepemimpinan mahasiswa di Thailand," katanya.
Beliau juga berterima kasih kepada pihak yang membantu melancarkan perjalanan ASEAN Leadership BenchMax 2023 itu.
"Lawatan penanda aras ini tidak dapat berjalan dengan lancar tanpa tajaan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Pejabat Perdana Menteri (PMO), Expressionz Professional Suites, Diah Exclusive, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Tourism Malaysia dan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM.
"ASEAN Leadership BenchMax 2023 ini juga memberi banyak manfaat kepada para peserta dalam aspek kemenjadian mahasiswa di universiti.
"Pemimpin pelajar dapat memperoleh pengetahuan baharu dan perspektif global, memperkaya pengalaman akademik dan pembangunan diri mereka.
"Justeru, peluang untuk memahami isu-isu global dan berkolaborasi dalam projek antarabangsa membentuk pemimpin yang peka dan berdaya saing di peringkat global," katanya.