Dari kiri Kalif, Qareen Irdina, Baharin dan Faidz berada di Kanada bagi mengikuti latihan industri HELP International Shelterbelt.
Dari kiri Kalif, Qareen Irdina, Baharin dan Faidz berada di Kanada bagi mengikuti latihan industri HELP International Shelterbelt.

4 mahasiswa tamat latihan industri di Kanada

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
05 Mar 2025 10:42am

Latihan industri merupakan satu program yang memberi peluang kepada penuntut memperoleh pengalaman kerja sebenar dalam bidang yang mereka pelajari.

Program ini biasanya diwajibkan kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) dan aliran vokasional sebagai sebahagian daripada syarat kelayakan sebelum menamatkan pengajian.

Baru-baru ini, empat penuntut dari Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menamatkan latihan industri mereka di HELP International Shelterbelt, Saskatchewan, Kanada.

Kalif Conder, Faidz Mohd Amin, Mohd Baharin Lakimo dan Qareen Irdina Mohd Nizam, masing-masing berkelulusan Bacelor Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem dengan Kepujian serta Bacelor Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian telah menimba pelbagai pengalaman menarik sepanjang 10 minggu berada di sana.

Mereka juga mendapat pelbagai pendedahan alam pekerjaan berkaitan projek pertanian dan kejuruteraan alam sekitar berskala besar di Kanada dengan sokongan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Kejuruteraan, Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen, Pusat Antarabangsa UPM serta MyNext Mobility (Talent Corp).

Menurut Ketua Unit Latihan Industri dan Mobiliti, Fakulti Kejuruteraan UPM, Ts Dr Muhammad Hazwan Hamzah, program latihan industri di luar negara wajar diteruskan demi memastikan pelajar mendapat pendedahan terutamanya berkaitan teknologi terkini bidang pertanian dan biosistem pada peringkat global.

"Latihan industri di luar negara merupakan satu inisiatif yang memberi peluang kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman kerja di peringkat antarabangsa.

"Program ini bukan sahaja membolehkan mereka mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam suasana kerja sebenar tetapi juga memberikan pendedahan kepada budaya, teknologi dan standard kerja global.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, usaha untuk meneruskan program latihan industri di luar negara adalah sesuatu yang wajar dan perlu diberi perhatian," katanya.

Mahasiswa UPM diberi taklimat berkenaan pengurusan ladang.
Mahasiswa UPM diberi taklimat berkenaan pengurusan ladang.

Untuk info, empat penuntut UPM yang mengikuti latihan industri itu perlu mengikuti beberapa komponen utama skop kerja yang telah ditetapkan.

Antaranya, projek penanaman kontrak menggunakan penanaman berjentera di kawasan ladang, mereka bentuk dan juga memasang sistem pengairan bagi menangani keperluan pengurusan air yang kritikal di kawasan ladang terlibat.

Mereka juga mengurus data dan menyediakan cadangan pembiayaan dalam usaha mendapatkan sumber kewangan penanaman semula hutan di negara tersebut.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp