40 sukarelawan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyertai Ops Rahmah Banjir bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Johor, baru-baru ini.
40 sukarelawan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyertai Ops Rahmah Banjir bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Johor, baru-baru ini.

40 sukarelawan UniMAP sertai Ops Rahmah Banjir

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
16 Mar 2023 06:09pm
A
A
A

Seramai 40 sukarelawan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyertai Ops Rahmah Banjir bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Johor, baru-baru ini.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Ts Dr Zaliman Sauli berkata, misi berkenaan memberi penekanan kepada kerja-kerja pembersihan kediaman penduduk yang terjejas akibat bencana alam tersebut.

“UniMAP sentiasa mengambil peduli masalah yang menimpa masyarakat di negara ini dan bersedia untuk menghulurkan pelbagai bantuan sebagai tanggungjawab sosial universiti kepada masyarakat.

“Bantuan yang digerakkan selari dengan slogan digunakan oleh universiti iaitu ‘UniMAP for Society’.

“Pasukan misi sukarelawan ini turut membawa keperluan seperti peralatan pembersihan dan jet air bagi memudahkan proses pembersihan di lokasi kediaman terjejas,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Misi kali ini diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UniMAP, Profesor Dr Mohd Fo’ad Sakdan yang juga Pengerusi Majlis Sukarelawan Universiti-universiti Malaysia (MASKUM).

Artikel Berkaitan:

Misi Ops Rahmah Banjir memberi penekanan kepada kerja-kerja pembersihan kediaman penduduk yang terjejas akibat bencana banjir.
Misi Ops Rahmah Banjir memberi penekanan kepada kerja-kerja pembersihan kediaman penduduk yang terjejas akibat bencana banjir.

Ia turut melibatkan staf dan mahasiswa dari Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar (P3P), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), kelab UniMAP Volunteer Club (UVoC), International Club of UniMAP (ISCU) serta MASKUM.

Zaliman memberitahu, UniMAP turut bekerjasama dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bagi koordinasi pengagihan kawasan untuk kerja-kerja pembersihan.

Selain kerja-kerja pembersihan, beliau menambah, UniMAP tidak terkecuali menyalurkan sumbangan 385 Bakul Rahmah yang mengandungi barangan keperluan asas kepada beberapa Pusat Perpindahan Sementara (PPS) di sekitar Kota Tinggi dan Parit Sulong, Johor.

“Apabila banjir di negeri itu beransur pulih dan surut sepenuhnya, kita juga (UniMAP) sedang bersiap sedia menghantar misi sukarelawan pasca banjir,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok