Murid SK Seri Budiman meredah banjir selepas sekolah itu ditenggelami air berikutan hujan lebat sejak malam tadi.

Kredit foto: BERNAMA
Murid SK Seri Budiman meredah banjir selepas sekolah itu ditenggelami air berikutan hujan lebat sejak malam tadi. Kredit foto: BERNAMA

Calon peperiksaan terjejas banjir dibenar berpakaian biasa – JPNT

AZLEENDA SAHALUDIN
23 Jan 2024 05:46pm
A
A
A

Pelajar terjejas banjir di Terengganu terutama calon peperiksaan dibenar untuk memakai pakaian biasa yang bersesuaian jika pakaian seragam sekolah rosak.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, kelonggaran itu untuk melancarkan urusan mereka yang ditimpa musibah banjir menduduki peperiksaan sama seperti pelajar lain.

"Bagi pelajar terkesan banjir namun baju seragam mereka rosak kerana ditenggelami air, mereka dibenarkan memakai pakaian biasa yang sesuai," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.

Sementara itu, beliau berkata, setakat jam 4 petang, Selasa, sebanyak lapan buah sekolah tidak dapat beroperasi kerana dinaiki air dan diberikan cuti bencana.

"Setakat ini dimaklumkan, sejumlah tujuh buah sekolah di daerah Kuala Terengganu dan sebuah sekolah di Hulu Terengganu tidak boleh beroperasi serta diberikan cuti bencana akibat banjir kilat.

"Antara sekolah terlibat ialah SMKA Sheikh Abdul Malek, SK Seri Budiman, SMK Bukit Besar, SK Gelugor, SK Kedai Buloh, SK Chung Hwa Wei Sin, SK Losong dan SK Lubuk Periuk (Hulu Terengganu).

"Bagaimanapun, pemantauan di semua sekolah terlibat sehingga petang ini mendapati air sudah mulai surut," katanya.

Beliau berkata, JPNT juga bersiap sedia untuk menggerakkan Ops Payung sekiranya keadaan banjir semakin buruk.

Artikel Berkaitan:

Sehingga jam 4 petang ini, seramai 24 mangsa banjir ditempatkan di tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Marang.

Antara PPS terlibat ialah Dewan Orang Ramai Bukit Parit, Dewan Sivik Wakaf Tapai dan SK Padang Mengkuang.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok