500 mahasiswa UKMKKL terima sumbangan Aidilfitri daripada MAIWP
Seramai 500 mahasiswa Islam Universiti Kebangsaan Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UKMKKL) menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi meringankan beban mereka membuat persiapan Aidilfitri nanti.
Sumbangan berjumlah RM110,000 yang diberikan itu merangkumi RM120 bagi tambang bas dan RM100 bagi wang perbelanjaan setiap seorang.
Naib Canselor, Profesor Datuk Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, sumbangan kepada mahasiswa berkenaan adalah bersempena program INSANI: Rahmah Ramadan dan Syawal Balik Kampung yang digerakkan oleh MAIWP.
“Terima kasih kepada MAIWP kerana sentiasa membantu mahasiswa UKMKKL terutamanya dalam persiapan hari raya.
“Malah, terima kasih juga kerana saban tahun tidak pernah ketinggalan menyampaikan sumbangan kepada Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) khususnya kepada pesakit HCTM.
“Antaranya, sumbangan kewangan sebanyak RM200,000 kepada Tabung Kebajikan Pesakit HCTM pada 2021 dan sumbangan itu meningkat kepada RM300,000 pada 2022. Terima kasih banyak-banyak,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Sumbangan MAIWP kepada mahasiswa UKMKKL, serahan ruang solat dewan bedah HCTM dan sumbangan bubur lambuk surau Ibnu Sina HCTM baru-baru ini.
Sementara itu, Mohd Ekhwan berkata, sumbangan yang diterima kepada HCTM membantu meringankan beban pesakit Islam asnaf dalam menampung kos rawatan dan perubatan di hospital tersebut.
“Saya berharap lebih banyak organisasi dan institusi di luar sana dapat mengikuti jejak langkah MAIWP dalam membantu pesakit yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan dan sumbangan peralatan sokongan perubatan di hospital ini,” ujarnya.