
500,000 pelajar IPT terima Baucar Buku Madani RM100
Seramai 500,000 pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di seluruh Malaysia bakal menerima Baucar Buku Madani bernilai RM100 yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menurut kenyataan media KPT, inisiatif itu merupakan hasil persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan dilaksanakan bermula 28 Ogos hingga 12 Disember 2025.
"Ia melibatkan pelajar di pelbagai institusi termasuk Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).
"Pelaksanaan baucar akan dijalankan menerusi portal https://mysiswaplace.my/ (MySiswaPlace) sebagai platform sehenti bagi semakan kelayakan, penjanaan dan penebusan baucar serta pembelian bahan bacaan secara atas talian sepenuhnya," katanya.
MySiswaPlace menawarkan lebih 1 juta judul bahan bacaan termasuk buku fizikal dan e-book yang disediakan lebih 250 rakan niaga.
Baucar boleh digunakan semua pelajar yang layak untuk pembelian buku akademik, bahan rujukan, bacaan ilmiah serta pelbagai lagi.