Aznan (tengah) menyempurnakan penyampaian diploma/sijil kepada salah seorang graduan dalam Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Johor 2025. Foto: Facebook Aznan Tamin
Aznan (tengah) menyempurnakan penyampaian diploma/sijil kepada salah seorang graduan dalam Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Johor 2025. Foto: Facebook Aznan Tamin

615 graduan Kolej Komuniti Negeri Johor raih diploma & sijil di Majlis Konvokesyen 2025

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
08 Sep 2025 03:15pm

Seramai 615 graduan menerima diploma dan sijil masing-masing dalam Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Johor 2025 di Dewan Permata Marjan, Politeknik Mersing baru-baru ini.

Majlis gilang-gemilang itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin, yang turut menyampaikan ucapan tahniah dan semangat kepada graduan agar terus menimba ilmu dan berbakti kepada masyarakat.

Sebanyak 12 Kolej Komuniti (KK) Johor terlibat dalam majlis konvokesyen itu iaitu KK Bandar Penawar, KK Segamat, KK Pasir Gudang, KK Segamat 2, KK Ledang dan KK Kluang.

Turut serta KK Batu Pahat, KK Pagoh, KK Muar, KK Kota Tinggi, KK Tanjung Piai dan KK Bandar Tenggara.

Dalam majlis itu juga, turut dikongsikan pencapaian membanggakan apabila statistik menunjukkan kebolehpasaran graduan KK mencecah 98 peratus pada tahun 2024.

Foto: Facebook Aznan Tamin
Foto: Facebook Aznan Tamin

Peratusan tersebut sekali gus membuktikan graduan KK sentiasa mendapat tempat di hati majikan dan industri, selari dengan keperluan pasaran kerja semasa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beberapa graduan turut menerima anugerah khas sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan mereka sepanjang pengajian.

Mereka yang terpilih terdiri daripada:

1) Anugerah Pelajar Cemerlang diberikan kepada 22 pelajar yang menunjukkan pencapaian akademik konsisten dan membanggakan sepanjang pengajian.

2) Anugerah Keusahawanan diberikan kepada Muhammad Adib Yahya, 21 (graduan Sijil Animasi 2D dari KK Segamat). Dia kini bertugas di Wiwynn Technology dan pada masa sama menguruskan syarikat miliknya, ADEEB IDEAL. Muhammad Adib aktif menceburi dunia keusahawanan dengan menyertai pelbagai program di peringkat kolej, negeri dan kebangsaan.

Foto: Facebook Kolej Komuniti Bandar Penawar
Foto: Facebook Kolej Komuniti Bandar Penawar

3) Anugerah Ketua Pengarah menjadi milik Nur Damia Damira Jazlan, 21 (graduan Sijil Terapi Kecantikan dan Spa, KK Muar). Dia bukan sahaja cemerlang akademik, malah menyerlah dalam kepimpinan apabila pernah menggalas tanggungjawab sebagai Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) KK Muar dan Naib Yang Dipertua JPP KK Negeri Johor 2023.

Keaktifannya dalam kepimpinan pelajar turut membuahkan hasil apabila menerima Anugerah Gemilang POLYCC 2023, selain muncul juara pertandingan Amalan Inovasi Pengurusan anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi projek inovatif Sistem iCert Propel.

Foto: Facebook Aznan Tamin
Foto: Facebook Aznan Tamin

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp