
Sultan Pahang rasmi Program Road Tour Skor A+ SPM, Tuisyen Komuniti YASA-UMPSA 2025
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Program Road Tour Skor A+ SPM Pahang dan Tuisyen Komuniti YASA-UMPSA 2025 di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Gambang di sini.
Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dan semoga mereka berjaya mendapat keputusan cemerlang.
"Selamat maju jaya dalam peperiksaan akan datang dan semoga semua penuntut peperiksaan ini akan berjaya dengan cemerlang sekali, sekurang-kurangnya A+.
"Kegagalan bukan pilihan. Ingat, dalam apa segala kerja, kita mesti buat kerja itu sebaik mungkin dan mesti berjaya," titah baginda sebelum berangkat pulang.
Sementara itu, Pengurus Besar YASA, Mohd Fakhrul Islam Juhali berkata, lebih 2,000 calon SPM dari seluruh negeri mengikuti seminar Road Tour Skor A+ SPM Pahang selama dua hari.
Beliau berkata, program anjuran Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dengan kerjasama strategik PTTI Group Sdn Bhd itu, menumpukan kepada strategi pembelajaran berkesan, teknik menjawab soalan dan pengukuhan motivasi kepada pelajar.
"Sejajar dengan titah harapan Sultan Pahang untuk melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing, YASA dan PTTI turut merangka kesinambungan inisiatif melalui Seminar School Tour Skor A+ SPM yang bakal menjelajah 198 sekolah menengah di seluruh negeri bermula Januari hingga Jun 2026," katanya ketika berucap pada majlis itu.
Beliau berkata, Tuisyen Komuniti YASA-UMPSA 2025 yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan UMPSA itu adalah bagi membantu pelajar SPM di daerah Kuantan dan Pekan, khususnya golongan B40 serta asnaf.
"Program ini dilaksanakan secara berfasa pada hujung minggu atau sesi petang dan malam di lokasi komuniti dengan sokongan pensyarah dan sukarelawan UMPSA serta fasiliti yang diperkasakan melalui rakan kolaborasi setempat," katanya.
Mohd Fakhrul Islam berkata, penglibatan Sultan Pahang dalam program berkenaan mencerminkan keprihatinan baginda terhadap masa depan anak negeri.
"Keberangkatan dan restu baginda menjadi sumber ilham serta kekuatan kepada anak-anak Pahang untuk gigih berusaha mencapai kecemerlangan SPM," katanya. - Bernama