8 kelebihan besar belajar jurusan Perakaunan
Mahasiswa hari ini semakin bijak dalam merancang masa depan kerjaya mereka, ini termasuk memilih bidang perakaunan sebagai pilihan utama di peringkat pengajian tinggi.
Bidang perakaunan bukan sekadar kerjaya biasa; ia adalah bidang yang strategik, beretika, dan penting dalam membantu organisasi kekal relevan serta mencapai kelestarian.
Bagi mahasiswa yang ingin masa depan cerah, terdapat lapan sebab utama bidang perakaunan masih kekal relevan di kalangan mahasiswa:
1) Permintaan tinggi
Setiap organisasi sama ada di sektor awam atau swasta, memerlukan akauntan untuk mengurus kewangan dan mematuhi undang-undang cukai dan kewangan. Menurut Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA), Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 60,000 akauntan bertauliah menjelang 2030.
2) Peluang kerjaya yang luas
Graduan perakaunan boleh memilih kerjaya sebagai akauntan awam, akauntan pengurusan, akauntan cukai, juruaudit, atau pakar forensik dan mereka juga berpeluang dalam kewangan, perundingan dan kepimpinan perniagaan.
3) Gaji yang kompetitif
Kerjaya dalam bidang perakaunan menawarkan gaji yang lumayan, terutamanya bagi mereka yang memiliki kelayakan profesional berkaitan perakaunan seperti ACCA, CPA, CIMA dan sebagainya.
4) Peluang kerjaya di peringkat global
Piawaian perakaunan antarabangsa seperti International Financial Reporting Standards (IFRS) membolehkan akauntan berkelayakan dari Malaysia bekerja di peringkat global dengan fleksibiliti dan mobiliti yang lebih mudah.
5) Pembangunan kerjaya yang kukuh
Akauntan berpengalaman mempunyai peluang untuk naik pangkat ke jawatan pengurus kewangan, ketua kewangan (CFO), atau pengurus kanan.
6) Integriti dan etika yang tinggi
Akauntan bertanggungjawab memastikan ketepatan rekod kewangan dan mencegah penyelewengan, integriti dan etika profesional adalah asas dalam kerjaya ini.
7) Peranan penting dalam kelestarian
Akauntan kini turut memainkan peranan penting dalam pelaporan kewangan berkaitan Environmental, Social, and Governance (ESG), serta membantu organisasi mencapai matlamat kelestarian, seperti Karbon Sifar Bersih 2050.
8) Menyokong kemajuan teknologi
Mahasiswa perakaunan mempelajari teknologi terkini seperti analisis data dan fintech, menjadikan mereka lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dunia perniagaan yang semakin digital.
Maklumat penulis
Pensyarah Kanan, Uniten Business School (UBS), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Nurul Nadiah Ahmad
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my