Kegembiraan peserta program Yayasan PETRONAS empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan setelah menerima sijil graduasi masing-masing.
Kegembiraan peserta program Yayasan PETRONAS empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan setelah menerima sijil graduasi masing-masing.

800 usahawan belia berjaya tamat program latihan

08 Oct 2024 01:10pm

Yayasan Petronas bersama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan rakan pelaksana program, Universiti Sains Malaysia (USM) serta Universiti Teknologi Mara (UiTM) meraikan 800 peserta yang menamatkan latihan dalam bidang kemahiran dan keusahawanan.

Peserta yang mengikuti latihan program selama enam bulan dipilih dari Kota Bharu, Pasir Mas, Kuala Krai dan Machang.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Kelantan, Datuk Zainal Abidin Yusuf berkata, kerajaan negeri Kelantan sememangnya prihatin dan komited dalam membantu usahawan dalam pelbagai aspek.

“Ia termasuk memberikan geran pemula khas kepada usahawan kecil yang menjadi peserta program ini.

“Melihat hasilnya, saya amat berbangga dengan program latihan bimbingan keusahawanan seperti ini sekali gus memangkin pertumbuhan sosioekonomi dan taraf hidup rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Program Yayasan Petronas Empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Peringkat Kelantan di H Elite Design Hotel, Kelantan.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Kelantan, Datuk Zainal Abidin Yusuf diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Puan Shariah Nelly Francis dan Pengurus Besar Modal Insan ECERDC, Dato' Wan Mohd Hasnan Abdullah (HCD) bersama-sama peserta terbaik program.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Kelantan, Datuk Zainal Abidin Yusuf diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Puan Shariah Nelly Francis dan Pengurus Besar Modal Insan ECERDC, Dato' Wan Mohd Hasnan Abdullah (HCD) bersama-sama peserta terbaik program.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis; Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Modal Insan ECERDC, Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, program pembangunan modal insan yang dijayakan sejak tahun 2022 bersama Yayasan Petronas-ECERDC, berhasil memberi manfaat kepada lebih 2,000 individu di Wilayah Ekonomi Pantai Timur sebagai usahawan dan tenaga kerja berkemahiran.

Sementara itu, Shariah Nelly berkata, Yayasan Petronas berbesar hati kerana berpeluang bekerjasama bersama ECERDC dalam melaksanakan program pembangunan modal insan di wilayah ECER.

“Sehubungan itu, kami berharap semua pihak dapat memainkan peranan dalam memastikan kelestarian impak program bagi memacu pembangunan ekonomi dan kesejahteraan hidup semua,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Mohd Hasnan, berkata ECERDC berbangga dengan hasil program apabila purata pendapatan peserta sebelum mengikuti program di empat jajahan terbabit melonjak hampir tiga kali ganda dengan peningkatan sebanyak 174 peratus.

“Malah lebih membanggakan, graduan yang selesai mengikuti program berjaya menunjukkan peningkatan pendapatan sehingga 11 kali ganda berbanding sebelum mengikuti program.

“ECERDC sudah melaksanakan program latihan kemahiran dan keusahawanan serta pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sejak tahun 2018 dengan kita berjaya menarik penyertaan lebih 22,000 individu di Wilayah Pantai Timur di mana lebih daripada 8,000 usahawan baharu dilahirkan.

“Selain itu, lebih daripada 2,500 peserta program mendapat penempatan pekerjaan,” katanya.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Kelantan, Datuk Zainal Abidin Yusuf ketika menurunkan tandatangan pada batik hasil cantingan peserta Kursus Canting & Conteng Batik oleh USM.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Kelantan, Datuk Zainal Abidin Yusuf ketika menurunkan tandatangan pada batik hasil cantingan peserta Kursus Canting & Conteng Batik oleh USM.

Untuk rekod, Program Yayasan Petronas Empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan (Sesi 2022/2024) di Jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Kuala Krai dan Machang menawarkan 23 kursus latihan kemahiran yang dilaksanakan oleh USM dan UiTM.

Di bawah program itu, peserta yang layak juga menerima Kit Perniagaan bagi membantu dalam meningkatkan perniagaan mereka dan dibimbing untuk menerima bantuan lanjutan daripada rakan agensi berkaitan seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp