Abdul Aziz (dua dari kanan) menyerahkan peruntukan RM2.4 juta untuk kegunaan Program Fidyah Wang Saku Pelajar di UiTM Puncak Alam.
Abdul Aziz (dua dari kanan) menyerahkan peruntukan RM2.4 juta untuk kegunaan Program Fidyah Wang Saku Pelajar di UiTM Puncak Alam.

8,000 pelajar IPT Selangor terima bantuan wang saku

NORAFIZA JAAFARNORAFIZA JAAFAR
09 Aug 2024 06:55pm

Seramai 8,000 pelajar kurang berkemampuan di Selangor menerima wang saku membabitkan peruntukan RM2.4 juta.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, wang fidyah MAIS itu diagihkan kepada pelajar di enam institut pengajian tinggi (IPT) dan dua agensi Islam.

Menurutnya, bantuan melalui Program Fidyah Wang Saku Pelajar dibuat secara berkumpulan kepada golongan sasar melibatkan kolaborasi dan kerjasama daripada Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM).

"Penyaluran wang saku kepada pelajar yang layak untuk membantu mereka dalam meneruskan kelangsungan kehidupan semasa belajar.

"Kriteria penerima mengikut hukum syarak iaitu fakir dan miskin atau miskin sementara yang terkesan akibat musibah tertentu sehingga menjadikan ketua keluarga tersebut menjadi miskin," katanya di Program Agihan Fidyah Wang Saku Pelajar 2024 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor, pada Khamis.

Gimik penyampaian sumbangan Program Fidyah Wang Saku Pelajar di UiTM Puncak Alam.
Gimik penyampaian sumbangan Program Fidyah Wang Saku Pelajar di UiTM Puncak Alam.

Beliau berkata, MAIS telah meluluskan peruntukan bajet agihan fidyah keseluruhan berjumlah RM12.4 juta tahun ini.

Daripada jumlah itu, katanya, RM5.79 juta membabitkan agihan dalam bentuk barangan manakala RM4.2 juta berbentuk tunai dan RM2.4 juta untuk program tunai wang saku pelajar.

Artikel Berkaitan:

Abdul Aziz berkata, wang saku fidyah diagihkan kepada pelajar memerlukan melalui RSAFM iaitu UiTM, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Selangor (UIS) dan Universiti Selangor (Unisel).

"Agihan turut disalurkan kepada pelajar di Management and Science University (MSU), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).

"Setiap pelajar yang layak akan menerima RM300 setiap seorang sekali sahaja dan program ini adalah salah satu daripada agihan fidyah seperti bantuan makanan asas dan wang tunai," katanya.

Katanya, tahun lalu MAIS berjaya mengagihkan fidyah dalam bentuk barangan asas dan tunai dengan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM11.9 juta.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp