AAGBS UiTM tawar pendidikan sarjana bisnes, lahirkan graduan berintegriti tinggi

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
16 Feb 2023 05:10pm

Kemajuan teknologi dunia hari ini dilihat mampu melahirkan lebih ramai mahasiswa yang bukan sahaja bijak dalam akademik malah mampu mewujudkan golongan bakal pemimpin perniagaan beretika dan berintegriti tinggi.

Profesor Dr Syed Jamal
Profesor Dr Syed Jamal

Dekan Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Dr Syed Jamal Abdul Nasir Syed Mohamad berkata, setiap program yang ditawarkan di AAGBS sentiasa disemak dan ditambah baik bagi menghasilkan graduan yang berkualiti lebih-lebih lagi golongan pemimpin bisnes.

Tambah beliau, AAGBS juga menyediakan pensyarah yang berpengalaman dalam bidang berkenaan supaya kokurikulum akademik setiap kursus sentiasa relevan dengan keperluan semasa.

“Dalam usaha melahirkan ramai graduan bisnes yang berintegriti, AAGBS komited menyokong konsep Malaysia Madani yang dibawa oleh kerajaan iaitu masyarakat adil dengan mengutamakan nilai kasih sayang, inovasi, kepercayaan, inklusiviti dan kesamarataan,” ujarnya ketika program Hari Terbuka AAGBS 2023 di UiTM Shah Alam, baru-baru ini.

AAGBS merupakan fakulti perniagaan peringkat sarjana UiTM yang menawarkan pelbagai program akademik sepenuh masa atau separuh masa.

Ia meliputi Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Sarjana Perbankan dan Kewangan Islam (MIBF), Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) dan Doktor Falsafah Pengurusan Perniagaan di mana kesemua kursus ini telah diperkenalkan sejak 1994.

Dalam pada itu, Syed Jamal turut memaklumkan, pelajar yang berminat untuk menyambung peringkat sarjana di AAGBS boleh mendapatkan maklumat terkini tentang peraturan baru, dasar standard dan garis panduan lain yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti bagi melakukan sebarang perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, AAGBS juga memperoleh pengiktirafan kebangsaan dan antarabangsa seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan The Alliance on Business Education and Scholarship for Tomorrow (ABEST21) selain menawarkan yuran yang rendah berbanding pusat pendidikan tinggi lain.

Mengulas lanjut, Syed Jamal menambah AAGBS dalam proses memperoleh pengiktirafan antarabangsa yang lain dikenali sebagai Persatuan Menyokong Sekolah-Sekolah Kolej dan Universiti Perniagaan (AACSB).

“Selain menyambung pengajian sarjana di sini, pelajar juga berpeluang melengkapkan ijazah pasca-sarjana dengan program pertukaran luar negara di seluruh dunia seperti Universiti Yamaguchi, Jepun dan Universiti Woosong, Korea Selatan.

“Mereka juga berpeluang memperoleh ijazah berganda dari Universiti Stuttgart of Applied Sciences Jerman atau diselia secara bersama oleh ahli akademik universiti tempatan dan antarabangsa,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp