Kredit Foto: Unsplash
Kredit Foto: Unsplash

3 formula asas menulis tesis yang perlu diberi tumpuan mahasiswa hari ini

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
04 Nov 2023 06:13pm

Menulis tesis dalam kalangan mahasiswa di institut pengajian tinggi (IPT) bukan semudah yang disangka.

Banyak perkara yang perlu dinilai sebelum tesis diterima dengan baik oleh penyelia.

Tesis atau nama lainnya iaitu disertasi, laporan kajian ilmiah atau dokumen ilmiah merupakan dokumen yang menjadi prasyarat bagi mahasiswa untuk memenuhi syarat bergraduan di samping menghadiri dan lulus kursus-kursus yang dikehendaki.

Tesis juga adalah hasil kerja asli oleh penulisnya dan mereka harus bertanggungjawab ke atas perkataan, ayat dan gambarajah yang diberikan dalam tesis tersebut.

Jika terdapat perkataan, ayat dan gambarajah bukan hak milik penulis, maka menjadi tanggungjawab penulis untuk menyatakan dari mana ia diambil atau daripada siapa ia dirujuk. Cara yang dilakukan ini secara tidak langsung menggambarkan integriti seorang ahli akademik.

Sinar Bestari tertarik dengan perkongsian Profesor Dr Mas Fawzi Mohd Ali menerusi laman Facebooknya, Mas Fawzi.

Beliau yang merupakan Pensyarah, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), telah memuat naik hantaran mengenai formula asas menulis tesis dalam usaha membantu siswa-siswa menyiapkan tesis dengan baik.

Panduan yang diberikan Mas Fawzi ini sangat mudah dan Sinar Bestari yakin mereka yang berada di menara gading dapat menyiapkan tugasan mereka sebaiknya dengan merujuk formula tersebut.

Artikel Berkaitan:

Jom kita ikuti cara senang menulis tesis seperti yang ditulis oleh pensyarah hebat ini.

*****

Saya lihat ramai mahasiswa yang berjuang apabila menulis laporan projek Sarjana Muda, disertasi Sarjana atau tesis Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Kemahiran menulis mereka masih lemah dan saya sendiri hairan.

Bila saya beritahu mereka, ‘Penulisan ini bukan benda baharu’, mereka pula yang hairan.

Sebenarnya, asas menulis laporan, disertasi dan tesis ini sudah diajar semasa di sekolah menengah lagi.

Jika anda tanya saya apakah formula untuk menghasilkan semua ini, jawapan saya sangat mudah kerana ia sudah dipelajari ketika berada di bangku sekolah menengah.

Formulanya begini

1) Kerangka ada tiga bahagian: Pengenalan, isi kandungan dan kesimpulan.

2) Setiap perenggan juga ada tiga bahagian: Pernyataan, maklumat sokongan dan rumusan.

3) Bila ada jadual atau rajah: Tuliskan karangan berdasarkan jadual/rajah yang ada.

Formula yang sama juga saya gunakan untuk menulis laporan dan tesis, dari dahulu hingga kini dan ia masih relevan serta masih lestari.

Cara-cara yang saya berikan ini adalah asas namun pelik kenapa mahasiswa tidak boleh menghasilkan tesis dengan baik.

Oleh itu, saya mula mencari punca mengapa golongan mahasiswa masih kurang mahir menulis laporan dan tesis.

Hasil pencarian tersebut, saya menemui tiga kemungkinan iaitu

1) Cikgu tidak mengajar dengan betul.

2) Sistem pendidikan tidak lagi efisien.

3) Pelajar yang tidak mahu belajar atau tidak pandai belajar.

Dalam semua kemungkinan ini, saya dapati nombor tiga paling ramai dalam kalangan individu hari ini.

Justeru, saya nasihatkan para pelajar di sekolah menengah hari ini agar belajar bersungguh-sungguh dalam semua subjek agar tidak menyesal di kemudian hari.

Ini kerana perkara asas yang anda belajar di sekolah adalah perakra yang akan anda gunakan apabila berada di universiti dan juga semasa bekerja kelak.

Jadi, jangan belajar sambil lewa dan menganggap proses pengajian peringkat rendah serta menengah sekadar pembelajaran yang ‘biasa-biasa’ sahaja.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp