No Image Caption

ACCA: Selangkah akauntan profesional

Tidak terhad kepada pelajar Prinsip Perakaunan sahaja

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
14 Oct 2024 09:55am

Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat mengikuti program Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) boleh terus mendaftar masuk meskipun bukan daripada aliran perakaunan.

Dekan Institut Pengajian Profesional Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Profesor Madya Dr Nurisyal Muhamad berkata, pelajar yang mengambil aliran Sains juga boleh mendaftar bagi mengikuti program ACCA bermula dengan Foundation in Accountancy (FIA).

Profesor Madya Dr Nurisyal
Profesor Madya Dr Nurisyal

Beliau berkata, sekiranya pelajar ingin mengikuti program FIA, mereka perlu memperoleh keputusan peperiksaan sekurang-kurangnya 4A termasuk subjek Bahasa Inggeris dan Matematik.

“Kita beri keutamaan kepada pelajar yang mendapat keputusan atau markah tinggi dan cemerlang kerana program ACCA ini mempunyai cabaran tersendiri.

“Ia menjadikan pemilihan pelajar untuk mengikuti program ini adalah daripada kategori keputusan yang tinggi pencapaiannya.

“Tiada masalah juga sekiranya pelajar itu dari aliran Sains dan tidak mengambil subjek Prinsip Perakaunan ketika SPM,” katanya kepada Sinar Bestari.

Kata Nurisyal, menarik untuk dikongsikan bahawa program ACCA khususnya di UPTM, pelajar boleh memilih untuk melanjutkan pengajian bagi menduduki empat kertas di Ireland.

Bahkan, UPTM sendiri telah menghantar sekurangnya 59 pelajar untuk melanjutkan pengajian di negara berkenaan.

“Setelah tamat FIA dan pelajar menyambung dalam ACCA, mereka ada 10 kertas untuk diduduki.

“Enam kertas akan diduduki di sini (UPTM), manakala selebihnya, para pelajar boleh memilih sama ada meneruskan di UPTM atau di luar negara.

“Ia sedikit sebanyak menjadi pendedahan awal buat mereka dan membuka mata tentang cabang sebenar bidang perakaunan ini,” ujarnya lagi.

Ditanya mengenai kebolehpasaran graduan lepasan ACCA, Nurisyal memberitahu, industri sememangnya mengutamakan graduan yang memiliki sijil ini.

Katanya, pihak industri memang menantikan graduan ACCA yang bukan sahaja dalam negara tetapi turut melibatkan luar negara seperti Singapura dan Ireland.

“Saya boleh katakan kebolehpasaran graduan memang tinggi sehingga mencecah 100 peratus.

“Kerjaya mereka bukan sahaja dalam bidang perakaunan tetapi juga melibatkan bidang lain seperti percukaian, audit, pelaburan dan perbankan.

“Justeru, jangan risau soal kerjaya kerana pastinya graduan ACCA ini ada tempat dalam industri,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp