Alumni KKTM Ledang dapat tawaran belajar di Australia. 'Terima kasih kerana beri peluang ini kepada saya'
Alumni Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Ledang, Johor, Muhammad Haziq Nazmi Noor Afandi telah berjaya mendapat tawaran menyambung pengajian ke luar negara, maklum Facebook KKTM Ledang.
Difahamkan, lepasan Diploma Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan (Diagnostik), KKTM Ledang itu akan mengikuti pembelajaran peringkat Bachelor of Engineering (Biomedical Engineering) di University of Technology Sydney, Australia di bawah Program Pelajar Cemerlang IPMa (IESP).
Muhammad Haziq Nazmi yang juga bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah, Melaka telah berangkat ke Australia bagi menuntut ilmu melalui Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu.
Turut hadir dalam sesi pelepasan itu ialah Timbalan Pengarah (Pembangunan Akademik), Ts Dr Kamil Pongot; Ketua Program (Diagnostik), Ahmad Faisal Abdullah dan beberapa wakil Bahagian Kemahiran dan Teknikal Majlis Amanah Rakyat (Mara).
"Warga KKTM Ledang mendoakan semoga urusan Muhammad Haziq Nazmi sentiasa dipermudahkan oleh ALLAH dan selamat maju jaya.
"Ledang sentiasa gemilang," catat hantaran itu.
Sementara itu, Muhammad Haziq Nazmi bersyukur kerana dapat menyambung pelajaran di University of Technology Sydney.
"Ribuan terima kasih kepada semua pensyarah KKTM Ledang yang mendidik saya selama ini.
"Terima kasih juga kepada pihak Mara yang menaja untuk belajar di tempat baru dengan suasana baru.
"Insya-ALLAH, saya akan balik berbakti pada negara, masyarakat dan keluarga," katanya seperti dipetik dalam video ringkas di Facebook berkenaan.