Ucapan menyentuh hati Al-Azizi undang kesedihan dalam kalangan warga dewan dan netizen.
Ucapan menyentuh hati Al-Azizi undang kesedihan dalam kalangan warga dewan dan netizen.

Anak peniaga pasar malam terima Anugerah Pingat Emas Canselor UniMAP, beri ucapan hingga buat warga dewan sebak!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
09 Aug 2024 10:24pm

Ucapan graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang dikenali Abdul Khalim Al-Azizi Syahril berjaya membuatkan sebahagian warga dewan menitiskan air mata ketika menghadiri Majlis Konvokesyen UniMAP ke-18 baru-baru ini.

Ia kerana, ucapan yang disampaikan oleh graduan tersebut begitu tersusun, jelas dan penuh adab serta hormat kepada insan bernama ‘ibu' sehingga menjadikan ucapan tersebut begitu luar biasa.

Dalam perkongsian berkenaan, Al-Azizi yang merupakan penerima Anugerah Pingat Emas Canselor UniMAP telah menceritakan kesukaran hidupnya sebagai seorang anak kepada peniaga pasar malam.

Katanya, sewaktu kecil lagi dia sudah mengikuti ibu yang meniaga dari estet ke estet demi kelangsungan hidup.

Bagi menyelami bait-bait ucapan yang disampaikan Al-Azizi, Sinar Bestari kongsikan apa yang diperkatakan graduan ini menerusi video yang dimuat naik unimaptv di aplikasi TikTok.

Diharapkan kisah tersebut memberi inspirasi kepada masyarakat terutamanya para pelajar agar tidak pernah melupakan jasa ibu dan ayah.

*****

“Rakan seperjuangan sekalian, saya pasti setiap daripada kita mempunyai 1001 kenangan yang terukir di UniMAP. Namun sedar ataupun tidak, sebenarnya saat ini kita hampir berada di penghujung cerita. Dan jika ditanya kepada saya, apakah cabaran utama dalam hidup. Saya akan menjawab, sudah pastinya adalah berkenaan perjalanan saya sebagai seorang anak yang mahu mengubah nasib keluarga untuk menjadi yang lebih baik.

Artikel Berkaitan:

Saya sebenarnya dibesarkan dalam keluarga yang kurang senang. Ibu dan ayah saya asalnya merupakan peniaga pasar malam malah mereka berniaga dan bergerak ke estet-estet ladang kelapa sawit untuk berniaga.

Saya masih ingat di mana saya ketika kecil terpaksa berdiri di atas baldi untuk menjual air. Perit jerih yang dilalui oleh ibu terutamanya membuatkan saya berazam untuk mengubah nasib keluarga.

Tekad hati saya ketika melangkah ke universiti adalah untuk melakukan yang terbaik dalam apa perkara. Dan siapa sangka, Azizi yang dahulunya terpaksa berdiri di atas baldi, hari ini dengan izin ALLAH, saya berjaya berdiri di atas pentas yang gah ini.

Dan siapa sangka, ibu yang dahulunya terpaksa masuk ke estet kelapa sawit untuk meniaga di beri penghormatan yang tinggi untuk duduk antara barisan hadapan. Terima kasih ibu.

Bayangkan ibu saya kurang mengerti apakah itu diploma dan apakah itu ijazah. Namun ibu masih memberikan kasih sayang yang sepenuhnya buat anak-anak dan segala kejayaan serta pencapaian yang saya terima ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk ibu saya yang tercinta, untuk abang Arif dan keluarga saya.

Terima kasih UniMAP kerana memberikan peluang yang saya kira tidak akan dilupakan sampai bila-bila dalam membalas jasa ibu pada hari ini. Terima kasih UniMAP.

Jangan pernah lupakan segala kenangan yang terukir di UniMAP dan jangan pernah lupakan barisan pensyarah, pegawai-pegawai kakitangan daripada setiap fakulti dan jabatan kerana mereka pernah berjasa pada kalian pada satu ketika dahulu serta jangan pernah lupakan almamatir tercinta kita. UniMAP"

Sementara itu, meninjau ruangan komen di aplikasi TikTok, rata-rata warga maya mengakui tersentuh dan menitiskan air mata kerana sebak dengan ucapan Al-Azizi.

kinah699_: Tahniah Al-Azizi. Bertuahnya mak dia ada anak macam ini.

fazilahahmad851: Kau buat akak nangis dik, sebab akak dulu seorang balu niaga pasar malam besarkan anak dua orang. Alhamdulillah anak-anak akak belajar hingga degree.

Nadira: Tahniah Al-Azizi. Hebatnya kasih sayang ALLAH ini.

Ejaz: Tahniah dan terima kasih wahai kedua ibu bapa yang mendidik serta membesarkan anak hebat seperti Al-Azizi.

sis_sumayyah: Semoga Azizi menjadi imam ketika solat jenazah satu hari nanti. Pimpin tangan mak dan ayah ke syurga nanti.

Zack: Aura insan hebat!

FarahIrdina:So touching! Manis wajahnya...tahniah dik.

Kamal: Ibu bapa kamu insan hebat Al-Azizi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp