
Anugerah Ikon Pendidikan Malaysia 2025 milik Naib Canselor UTeM
Nama Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia pendidikan.
Kewibawaan dan kecemerlangan beliau dalam menerajui UTeM sememangnya diperakui ramai, apatah lagi dengan pencapaian membanggakan universiti itu di bawah kepimpinannya.
Beliau bukan sahaja dikenali sebagai tokoh akademik yang berwawasan, malah turut disanjung atas pendekatan strategik dan kepimpinan berasaskan integriti serta inovasi.
Terkini, beliau baharu sahaja diumum sebagai penerima Anugerah Ikon Pendidikan Malaysia 2025 dalam majlis Anugerah Personaliti Industri & Usahawan Malaysia (APIUM) 2025 di Kuala Lumpur.

Menerusi pengiktirafan itu, Massila menerima sebuah trofi dan sijil yang disampaikan adinda kepada Yang di-Pertuan Agong, Yang Amat Mulia Tunku Hajah Mariam Zaharah Sultan Iskandar.
Turut hadir Penolong Naib Canselor Strategik dan Kelestarian Global, Profesor Madya Mohd Rahimi Yusoff; Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Profesor Madya Ts Dr Mohd Sanusi Azmi dan Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global, Hazman Hasib.
UTeM dalam satu kenyataan memaklumkan, Anugerah Ikon Pendidikan Malaysia 2025 yang diterima Massila merupakan satu pengiktirafan terhadap kredibiliti, kecemerlangan dan sumbangan beliau dalam memimpin Universiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Terbaik di Malaysia.

"Massila unggul sebagai ikon yang komited menjayakan amanah negara daripada aspirasi menjadi nyata dengan menggerakkan pemerkasaan TVET dalam kalangan wanita dengan merealisasikan rangkaian program Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement (JELITA) secara komprehensif.
"Pada masa sama, beliau turut memacu kepimpinan sebagai Pengerusi Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan Pengerusi Majlis Akreditasi Teknologi dan Teknikal (TTAC), Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT)," kata UTeM.
Sebagai pemimpin yang strategik, Massila sentiasa memastikan perancangan, pengisian dan pencapaian universiti serta badan di bawah kepimpinannya seiringan dengan fokus Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dunia.

Malah, beliau turut mencorakkan kedinamikan hubungan strategik Malaysia menerusi pendidikan tinggi di mata dunia menerusi rantaian kerjasama strategik antara UTeM bersama dengan universiti-universiti ternama dunia di segenap benua.
INFO
Berikut senarai anugerah diterima Naib Canselor UTeM
1) Anugerah Personaliti Pendidikan Transfomartif Cemerlang Peringkat Asia
2) Anugerah Personaliti Cemerlang Malaysia (Kepimpinan TVET) dalam Malaysia Education & TVET Awards
3) World Distinguished Women Leader Lifetime Achievement Award pada World Women Economic & Business Summit (WWEBS).
