Cikgu Siti Maslinda diumum penerima Anugerah Ikon Adiguru sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-54 di Kuching, Sarawak baru-baru ini.
Cikgu Siti Maslinda diumum penerima Anugerah Ikon Adiguru sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-54 di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Anugerah Ikon Adiguru milik Cikgu Siti Maslinda! 'Pengiktirafan buat guru yang tidak pernah berhenti memberi' - Warganet 

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
23 May 2025 01:39pm

"Ini adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan dan menjadi suntikan semangat buat saya untuk terus berkhidmat dalam dunia pendidikan."

Demikian kata Cikgu Siti Maslinda Syed Musa, sejurus diumum sebagai penerima Anugerah Ikon Adiguru sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-54 yang berlangsung di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Beliau yang kini bertugas sebagai Penolong Kanan Kokurikulum di SMK Rantau Panjang, Kuala Selangor, Selangor tidak dapat menyembunyikan rasa syukur dan terharu atas penghargaan yang diterima sekali gus mengiktiraf komitmennya dalam memperkasa bidang kokurikulum dan pendidikan secara holistik.

"Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi dorongan dan kepercayaan sepanjang perjalanan kerjaya saya," ujarnya penuh rendah hati.

No Image Caption

Dalam pada itu, Cikgu Siti Maslinda turut merakamkan penghargaan kepada warga sekolah yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan profesionalnya.

"Terima kasih buat keluarga tercinta dan seluruh warga SMK Rantau Panjang, SMK Puncak Alam dan SMK Saujana Utama yang pernah saya curahkan bakti. Tanpa mereka, saya tidak akan sampai ke tahap ini," katanya lagi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Selangor (PPDKS), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) serta Institusi Pengajian Tinggi seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Selangor (Unisel) dan rakan kolaborasi lain yang telah banyak membantu menjayakan pelbagai program pendidikan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp