Kedua-dua institusi memenangi anugerah masing-masing di bawah kategori universiti dan politeknik.
Kedua-dua institusi memenangi anugerah masing-masing di bawah kategori universiti dan politeknik.

APU, Politeknik Sultan Mizan rangkul Anugerah Teknologi Digital MDEC

26 Mar 2024 11:41am
A
A
A

Asia Pacific University (APU) (School of Computing) dan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi) merangkul anugerah kecemerlangan Asia Pacific University (School of Computing) 2023 oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

MDEC dalam satu kenyataan memaklumkan, kedua-dua institusi itu memenangi anugerah tersebut masing-masing di bawah kategori universiti dan politeknik.

"Di bawah bidang kuasa Kementerian Digital, ia terus menerajui evolusi industri teknologi digital Malaysia melalui inisiatif Premier Digital Tech Institutions (PDTI).

"Direka bentuk untuk merapatkan jurang antara permintaan industri dengan bekalan bakat tempatan, PDTI menjadi asas dalam mengasah bakat profesional berkemahiran tinggi untuk ekonomi digital," menurut kenyataan itu.

PDTI ialah status yang dianugerahkan kepada fakulti institusi pengajian tinggi berkelayakan di Malaysia yang mengkhusus dalam pendidikan teknologi digital.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2017, MDEC dengan sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi, telah mengembangkan PDTI merangkumi 42 fakulti merentasi 24 institusi awam dan swasta.

Institusi itu mendapat pengiktirafan atas komitmen menyampaikan pendidikan peringkat tinggi dalam teknologi digital, menghasilkan purata 95 peratus kadar kebolehpasaran siswazah di semua institusi sejak tahun 2017.

MDEC memberitahu pada tahun 2023, seramai 9,482 pelajar mendapat manfaat daripada inisiatif itu melalui pelbagai program, aktiviti pelajar, kerjasama dengan rakan industri dan kursus peningkatan kemahiran ahli fakulti.

Artikel Berkaitan:

"Hal ini selaras dengan inisiatif strategik kebangsaan Malaysia Digital (MD) dan Program Mangkin Malaysia Digital (PeMangkinMD) dalam memacu pertumbuhan ekonomi digital dan memastikan Malaysia mempunyai keupayaan dan bakat digital yang diperlukan untuk bersaing dalam landskap digital global," menurut kenyataan berkenaan.

Anugerah itu mengiktiraf sumbangan dan pencapaian cemerlang individu dengan mewakili fakulti PDTI masing-masing dalam peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Penekanan PDTI adalah untuk mengukuhkan lagi kerjasama dengan rakan industri digital untuk pembangunan program pengajian tinggi berkualiti tinggi, sekali gus meningkatkan kemasukan pelajar dalam program STEM melalui inisiatif dengan PDTI Tech Club dan sekolah," menurut MDEC.

Penerima lain ialah Ahmad Najmi Amerhaider Nuar dari Universiti Teknologi Malaysia (Fakulti Komputeran) yang meraih Outstanding Faculty Members Awards, manakala Cheng Yi Heng - APU (School of Computing) memenangi Outstanding Student Awards. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok