Zambry (tengah) bersama sebahagian penerima anugerah pada Majlis ATSN ke-9 yang berlangsung Rabu lalu. Foto: Facebook Kementerian Pendidikan Tinggi
Zambry (tengah) bersama sebahagian penerima anugerah pada Majlis ATSN ke-9 yang berlangsung Rabu lalu. Foto: Facebook Kementerian Pendidikan Tinggi

ATSN medan bentuk barisan kepimpinan masa depan - Zambry

03 Oct 2025 11:11am

Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2025 yang mengiktiraf sumbangan mahasiswa institut pendidikan tinggi (IPT), merupakan landasan penting dalam membentuk barisan pemimpin masa depan negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis ATSN ke-9 pada Rabu, beliau berkata, pengiktirafan itu bukan sahaja mencungkil dan merangsang bakat kepimpinan pelajar, malah turut menyediakan ruang untuk mereka mengasah potensi diri dalam pelbagai bidang terutamanya dalam kapasiti kepimpinan.

"Saya yakin di setiap IPT, sama ada universiti, politeknik mahupun kolej komuniti akan meneruskan program kepimpinan di kampus masing-masing.

"Di situlah kita dapat membina daya kepimpinan dan keseluruhan potensi yang ada dalam setiap mahasiswa dan mahasiswi kita," katanya yang turut menitipkan ucapan tahniah kepada kesemua pemenang di majlis itu.

Majlis berprestij yang memasuki penganjuran kali kesembilan itu mula diperkenalkan pada 2013 dengan nama Anugerah Tokoh Siswa (ATS).

Objektif utama penganjuran ATSN 2025 bertujuan mengiktiraf sumbangan mahasiswa dan badan pelajar IPT, memupuk semangat nasionalisme, meningkatkan kebolehsaingan serta melahirkan pewaris kepimpinan negara.

Sebanyak 11 kategori individu dipertandingkan meliputi kepimpinan, seni warisan, keusahawanan, sukan rekreasi, bicara siswa, inovasi, kesukarelawanan, khidmat komuniti, inklusiviti, perpaduan dan kelestarian siswa.

Selain itu, ATSN turut menawarkan Anugerah Sinergi Kepimpinan (kategori berkumpulan) serta empat Anugerah Penghargaan Khas (Menteri PendidikanTinggi; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi) manakala ATSN merupakan anugerah utama yang ditawarkan dalam majlis itu. 

Artikel Berkaitan:

Pada majlis itu, Ng Zhen Fan Shankar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merangkul Anugerah Tokoh Siswa Negara.

ATSN menerima 246 penyertaan dari seluruh IPT (universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti) dengan 75 calon berjaya ke peringkat akhir. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Anugerah Tokoh Siswa Negara 2025 mengiktiraf sumbangan mahasiswa dan membentuk pemimpin masa depan
  • ATSN mendorong bakat kepimpinan dan membina potensi pelajar dalam pelbagai bidang
  • Majlis ATSN ke-9 menandakan penyertaan dari universiti, politeknik dan kolej komuniti
  • Objektif ATSN termasuk memupuk semangat nasionalisme dan melahirkan pewaris kepimpinan
  • Ng Zhen Fan Shankar dari UPSI memenangi Anugerah Tokoh Siswa Negara, dengan 246 penyertaan dari seluruh IPT
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp