
Debaran Anugerah Tokoh Siswa 2025! 7 mahasiswa UPSI layak ke peringkat akhir
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila tujuh mahasiswa termasuk satu pasukan berjaya menempah tempat ke peringkat akhir Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2025 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Senarai mereka yang layak terdiri daripada Ng Zhen Fan Shankar (Anugerah Tokoh Siswa Negara); Nik Ahmad Nuri Nik Ismail (Tokoh Kepimpinan Siswa); Dennis Wong Kien Fui (Tokoh Perpaduan Siswa) dan Muhammad Haslan Mamat (Tokoh Sukan dan Rekreasi Siswa).
Seterusnya Sayed Muzakkir Sayed Hamzah (Tokoh Seni dan Warisan); Abbas Ali Iftikhar Hussain (Tokoh Kelestarian Siswa) dan Majlis Perwakilan Pelajar UPSI Sidang 2022/2023 (Anugerah Sinergi Kepimpinan Siswa).
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Norkhalid Salimin berkata, pencapaian itu membuktikan mahasiswa universiti bukan sahaja cemerlang akademik, malah menyerlah dalam kepimpinan, kesukarelawanan dan pembangunan sahsiah.
Manakala Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff juga memaklumkan, kejayaan mahasiswa yang berani mencabar diri di peringkat nasional begitu membanggakan universiti.
"Kejayaan ini adalah hasil budaya kecemerlangan dan sokongan seluruh warga universiti dalam melahirkan graduan holistik, berdaya kepimpinan serta mempunyai nilai insaniah yang tinggi.
"Malah, pencapaian mara ke peringkat akhir juga memberi mesej jelas bahawa mahasiswa UPSI bersedia menjadi duta ilmu dan pemimpin masa depan selari dengan visi universiti sebagai peneraju kebitaraan pendidikan," ujarnya.
Untuk info, majlis penganugerahan ATSN 2025 yang bakal berlangsung di Hotel Marriot Putrajaya 1 Oktober depan bertujuan mengiktiraf kecemerlangan mahasiswa dalam kepimpinan, kesukarelawanan, perpaduan, kelestarian, kesukanan, kesenian dan sinergi organisasi.
Ringkasan AI
- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar satu lagi pencapaian membanggakan dengan tujuh mahasiswa termasuk satu pasukan ke peringkat akhir Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2025
- Mahasiswa tersebut terdiri daripada individu dan pasukan dalam pelbagai kategori seperti Tokoh Kepimpinan Siswa, Tokoh Perpaduan Siswa, dan Tokoh Sukan dan Rekreasi Siswa
- Timbalan Naib Canselor menekankan pencapaian ini membuktikan mahasiswa UPSI cemerlang bukan sahaja dalam akademik tetapi juga dalam kepimpinan dan pembangunan sahsiah
- Naib Canselor menyatakan kejayaan ini membanggakan dan menunjukkan keberanian mahasiswa UPSI mencabar diri di peringkat nasional
- Majlis penganugerahan ATSN 2025 adalah platform pengiktirafan terhadap kecemerlangan mahasiswa dalam pelbagai bidang termasuk kepimpinan dan kesukarelawanan