Aliah (dua dari kanan) dan pelajar jurusan kejuruteraan UniKL-MFI, Laila Melissa Wright, 19 (kanan) ketika menghadiri Festival Of French-speaking Authors di lokasi Alliance Française De Kuala Lumpur.
Aliah (dua dari kanan) dan pelajar jurusan kejuruteraan UniKL-MFI, Laila Melissa Wright, 19 (kanan) ketika menghadiri Festival Of French-speaking Authors di lokasi Alliance Française De Kuala Lumpur.

Bahasa Perancis buka pelbagai peluang buat pelajar Malaysia

25 Mar 2024 11:57am
A
A
A

Menguasai Bahasa Perancis bukan mudah, namun dengan pendekatan yang tepat, kesukaran itu mampu diatasi.

Berkongsi pengalaman, seorang pelajar Aliah Azahar, 19, berkata hasrat mempelajari bahasa asing harus disertai dengan minat kerana ia akan membuatkan seseorang itu lebih bermotivasi untuk belajar dan berlatih.

Pelajar tahun pertama jurusan Pengurusan Perniagaan dan Sains Politik Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL-MFI) itu berkata, penguasaan bahasa Perancis penting kerana ia antara bahasa perniagaan selepas bahasa Inggeris serta Mandarin.

"Ia memang susah dipelajari pada permulaannya...yang penting kita mesti faham dan hadam rukun pertama belajar bahasa iaitu tiada bahasa yang susah tetapi ia menjadi berat apabila kita menyusahkannya," katanya kepada Bernama sewaktu Festival Of French-speaking Authors yang julung kali diadakan di sini pada Ahad.

Festival sehari anjuran Rencontre Des Auteurs Francophones bersama Kedutaan Perancis serta Dewan Perniagaan dan Industri Perancis Malaysia itu menghimpunkan penulis, bakat baharu serta pembaca menerusi bengkel, jualan buku dan pelbagai aktiviti sastera.

POM MADENDJIAN
POM MADENDJIAN

Ahli Jawatankuasa Rencontre des Auteurs Francophones, Pom Madendjiqn pula berkata, bahasa Perancis adalah bahasa asing kedua yang dipelajari di sekolah menengah di Malaysia selepas bahasa Jepun.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kira-kira 15,000 pelajar dari 101 sekolah menengah di seluruh Malaysia mempelajari bahasa Perancis sebagai bahasa kedua, manakala kira-kira 150 guru tempatan mengajar bahasa itu di sekolah dan universiti.

"Kementerian Pendidikan menggalakkan pelajar menguasai bahasa lain kerana ia membuka peluang untuk mereka belajar di luar negara, melancong dan membuka perniagaan di pelbagai negara.

"Dalam era globalisasi, anak muda Malaysia perlu dilengkapi dengan akses kepada bahasa lain dan pembelajaran bahasa Perancis adalah aset untuk mereka kerana ia mewujudkan pelbagai peluang," katanya.

Orang ramai menghadiri Festival Of French-speaking Authors yang julung kali diadakan di lokasi Alliance Française De Kuala Lumpur.
Orang ramai menghadiri Festival Of French-speaking Authors yang julung kali diadakan di lokasi Alliance Française De Kuala Lumpur.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok