Suasana berbuka puasa di SK Sungai Lui yang dihadiri warga sekolah dan murid serta ibu bapa Orang Asli.
Suasana berbuka puasa di SK Sungai Lui yang dihadiri warga sekolah dan murid serta ibu bapa Orang Asli.

Iftar Jamai'e pengalaman baharu buat Orang Asli

NORAFIDAH ASSAN
27 Mar 2024 12:38pm
A
A
A

Buat julung kalinya, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lui, Jempol, Negeri Sembilan menganjurkan Program Iftar Jamai'e Bersama Komuniti Felda Sungai Lui di padang sekolah mereka, baru-baru ini.

Selain dihadiri warga sekolah, program itu turut disertai seramai 55 murid bukan Islam yang merupakan anak Orang Asli di kawasan berhampiran.

Malah, ibu bapa dan penjaga murid dalam kalangan masyarakat Orang Asli dipelawa dalam program itu sekali gus memberi pengalaman baharu kepada mereka.

Wakil ibu bapa, Basri Jasli, 27, dari Kampung Orang Asli Sungai Lui berkata, dia teruja apabila dipelawa menyertai Iftar Ramadan di sekolah berkenaan.

Katanya, program itu mampu mengeratkan hubungan antara sekolah dan masyarakat termasuklah mereka yang bukan beragama Islam.

"Ini kali pertama saya menyertai program berbuka puasa sebegini. Rasanya bukan saya sahaja tetapi ibu bapa lain pun mungkin sama. Memang seronok lebih-lebih lagi dengan anak-anak,” ujarnya.

Penyerahan kelengkapan sekolah turut berlangsung pada majlis berkenaan.
Penyerahan kelengkapan sekolah turut berlangsung pada majlis berkenaan.

Sementara itu, guru besar, Cikgu Hazni Mohamad berkata, Iftar Jamai'e Bersama Komuniti Felda Sungai Lui turut menjemput pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), pengurusan kampung dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama-sama berbuka puasa dengan pihak sekolah.

Artikel Berkaitan:

“Program anjuran Panitia Pendidikan Islam, Kelas Agama Petang (KAP) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bertujuan mengeratkan silaturahim antara semua pihak," jelasnya.

Program Iftar Jamai'e Bersama Komuniti Felda Sungai Lui menyediakan pelbagai juadah enak kepada tetamu antaranya kambing golek, ayam percik dan pencuci mulut.

Penyampaian sumbangan berupa pakaian dan beg sekolah oleh Yayasan Felda turut diagihkan kepada murid Tahun Satu selepas majlis berbuka puasa.

Untuk rekod, SK Sungai Lui mempunyai 98 murid dan 70 peratus daripadanya adalah anak Orang Asli dari kampung berhampiran.

Selebihnya murid Melayu yang merupakan generasi keempat Felda Sungai Lui.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok