Selain Bahasa Vietnam, FLL UM juga menawarkan sembilan subjek bahasa lain termasuk Arab, Cina, Inggeris, Perancis, Jerman dan Tamil.
Selain Bahasa Vietnam, FLL UM juga menawarkan sembilan subjek bahasa lain termasuk Arab, Cina, Inggeris, Perancis, Jerman dan Tamil.

Bahasa Vietnam antara subjek pilihan di Universiti Malaya

14 Jun 2024 10:34am

Bahasa dan Budaya Vietnam diperkenalkan semula sebagai satu subjek pilihan di Universiti Malaya (UM) - salah sebuah universiti awam terkemuka di Malaysia.

Kira-kira 100 hingga 140 mahasiswa di Fakulti Bahasa dan Linguistik (FLL) kini mempelajari Bahasa dan Budaya Vietnam, kata Dekan FLL, Profesor Surinderpal Kaur, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Para penuntut terdiri daripada rakyat Malaysia, China, India dan Indonesia.

Ditubuhkan sebagai Pusat Bahasa pada tahun 1972, FLL bertanggungjawab untuk menjalankan kursus bahasa yang relevan dengan keperluan universiti.

Ia menawarkan Kursus Bahasa Vietnam sejak penubuhannya sehingga 2017 apabila satu-satunya pensyarah Bahasa Vietnam bersara.

Kursus Bahasa dan Budaya Vietnam disambung semula pada 2023 selepas fakulti itu mengambil Pakar Linguistik, Nguyen Thuy Thien Huong, yang dikatakan telah memberikan inspirasi kepada kakitangan dan pelajar FLL untuk mengetahui lebih lanjut tentang Vietnam.

Profesor Surinderpal berkata, fakulti itu bekerjasama dengan Persatuan Persahabatan Malaysia - Vietnam dalam program pertukaran pelajar, dengan hasrat untuk membina program khusus mengenai kerjasama kedua-dua negara.

Artikel Berkaitan:

Ia juga merancang membangunkan kurikulum yang menyediakan kursus Bahasa Vietnam yang komprehensif dari peringkat asas hingga lanjutan serta menganjurkan aktiviti untuk mempromosikan budaya Vietnam seperti kelas memasak, kelas muzik tradisional Vietnam dan tayangan filem Vietnam.

Selain Bahasa Vietnam, fakulti itu juga menawarkan sembilan subjek bahasa lain - Arab, Cina, Inggeris, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Sepanyol, dan Tamil. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp