'Bangun jam 3 pagi setiap hari untuk mengulang kaji pelajaran'
Sudah menjadi impian setiap mahasiswa untuk mengidamkan gelaran pelajar cemerlang dalam peperiksaan bagi mana-mana mata pelajaran sekali pun.
Begitu juga bagi Nurin Nabeeha Ramlan, 24, yang sanggup bangun sekitar jam 3 pagi setiap hari untuk mengulang kaji pelajaran.
Kongsi gadis itu, dia rela tidur awal setiap hari sehingga terpaksa menolak pelawaan rakan-rakan untuk keluar kerana ingin menumpukan perhatian sepenuhnya masa untuk mengulangkaji pelajaran.
Kegiatan itu akan kerap berlaku apabila pada musim peperiksaan dan tarikh akhir penghantaran kerja kursusnya.
"Ada orang bangun pada waktu Subuh, mungkin kita boleh awalkan sikit contohnya jam 3 atau 4 pagi untuk belajar.
"Ini tip saya kekalkan (Anugerah) Dekan itu, kita perlu berkorban waktu tidur,” katanya secara eksklusif bersama Sinar Bestaribaru-baru ini.
Nurin Nabeeha juga mengakui berasa lega selepas mengetahui namanya dinobatkan sebagai penerima empat anugerah bagi kategori Anugerah Canselor, Anugerah Pro-Canselor, Anugerah Naib Canselor, Anugerah Ekstra Kurikulum Carisbrook Asia.
Dia berjaya menamatkan pelajaran dalam bidang Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian), Komunikasi Korporat dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.90.
Anugerah itu akan diberikan semasa Majlis Konvokesyen Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) 2024 pada Selasa.
Belajar ketika orang lain tidur
Bagi segelintir pelajar, mereka mungkin lebih memilih untuk tidur dalam tempoh yang lama supaya tidak kepenatan pada keesokan harinya.
Namun, perkara itu tidak berlaku kepada Yasmin Syahirah Md Yusof, 22, kerana baginya, waktu berharga itu telah disia-siakan.
Yasmin Syahirah mengakui, tidur yang lama merupakan tindakan sia-sia kerana bagi tempoh itu, dirinya boleh mengulang kaji pelajaran dan lebih fokus tanpa gangguan orang lain.
Dia juga berjaya menamatkan tiga tahun pembelajaran bagi Diploma Perakaunan, sekali gus menerima anugerah yang akan diberikan semasa majlis konvokesyen nanti.
Ia merupakan Anugerah Naib Canselor, Anugrah Pro Canselor dan Anugerah Canselor dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.91.
Yasmin Syahirah berkata, setiap mahasiswa memainkan peranan penting untuk menuntut ilmu dengan lebih mendalam secara sendiri tanpa mengharapkan bantuan pensyarah mahupun rakan-rakan.
Baginya, mempelajari sesuatu mata pelajaran secara dalam talian juga membantu memahami setiap topik.
"Saya selalu belajar dengan seorang YouTuber. Dia lelaki berbangsa India.
"Saya memang faham apa yang dia ajar walaupun tidaklah sama seperti dalam kelas tetapi secara umumnya, itu kali kedua kita terima maklumat mengenai subjek ini.
"Cuma cara pemahaman kita untuk serap perkara itu berlainan,” ujarnya mengakhiri sesi temu bual itu.