![Inovasi Bantal Terapi membantu mahasiswa yang menghadapi tekanan akademik dan masalah tidur akibat beban kerja yang berat.](https://www.sinarharian.com.my/sinarbestari/uploads/images/2025/02/06/2995990.jpg)
Bantal Terapi bantu mahasiswa yang hadapi tekanan akademik & masalah tidur
Sekumpulan penuntut program Antropologi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membangunkan inovasi Bantal Terapi bagi membantu mahasiswa yang menghadapi tekanan akademik dan masalah tidur akibat beban kerja yang berat.
Projek di bawah kursus Sosiologi Desa bertujuan meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental mahasiswa dengan meningkatkan kualiti tidur dan mengurangkan masalah kesihatan seperti sakit leher atau bahu.
Melalui inisiatif itu, ia dapat membantu mahasiswa meningkatkan daya fokus dan prestasi akademik dalam pelajaran dan kehidupan harian.
Projek tersebut dimulakan dengan penyelidikan untuk mengenal pasti kriteria bantal yang sesuai dan bagaimana membangunkan reka bentuk prototaip.
Selepas ujian awal, dana dikumpul untuk menghasilkan produk (bantal terapi) dalam skala kecil.
Bagi mendapatkan maklum balas produk ini, seorang penuntut yang sering menghadapi tekanan fizikal dan mental di kampus telah dipilih bagi memberi pandangan tentang keberkesanan Bantal Terapi berkenaan.