Johari (tengah) bersama ahli jawatankuasa Citra Orator 2025, barisan guru dan pelajar SMK Tambunan selepas tamatnya program berkenaan baru-baru ini.
Johari (tengah) bersama ahli jawatankuasa Citra Orator 2025, barisan guru dan pelajar SMK Tambunan selepas tamatnya program berkenaan baru-baru ini.

Bantu tingkat kemahiran insaniah pelajar SMK Tambunan

13 Jun 2025 02:30pm

Kumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Program Citra Orator 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan, Sabah sebagai usaha meningkatkan aspek kemahiran insaniah para pelajar di sekolah itu.

Program anjuran Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS), Kolej Kediaman Tun Fuad (KKTF) Sesi 2023/2024, UMS itu antara lain berobjektif meningkatkan lagi pengetahuan orator dalam aspek-aspek komunikasi dan kepimpinan serta memperbaiki sahsiah diri dalam kalangan pelajar Tingkatan Enam sekolah tersebut.

Menurut pengetuanya, Johari Ag Damit, program adalah satu inisiatif yang baik kerana bukan sahaja memberi ruang kepada pelajar untuk mencuba teknik-teknik pengucapan awam secara praktikal, malah turut memperkukuh kemahiran insaniah seperti kerjasama, kepimpinan dan kecerdasan emosi.

"Saya sangat berbangga kerana program ini dapat mempersiapkan diri para pelajar terutama sekali bagi persediaan ke Tingkatan Enam yang akan menempuh alam universiti kelak.

"Menerusi program diadakan, para peserta berpeluang untuk terlibat dalam simulasi orator, sesi refleksi komunikasi berkesan, temu duga spontan dan interaktif bersama fasilitator dalam kalangan mahasiswa.

"Pengisian-pengisian sebegini mampu memperkasa potensi pelajar secara holistik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program itu di sekolah.

Turut hadir Penolong Kanan Tingkatan Enam, Ester Linus dan Guru Kaunseling merangkap Ketua Warden Asrama SMK Tambunan, Efibery Parantis.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, pendekatan program tersebut yang bersifat inklusif dan mesra pelajar juga dilihat sebagai satu kaedah tepat untuk menyemai keyakinan diri serta membina jati diri pelajar yang bersedia menghadapi cabaran komunikasi akan datang.

"Justeru, sekalung penghargaan saya ucapkan atas kesudian semua ahli jawatankuasa penuntut UMS yang telah memilih SMK Tambunan untuk menjalankan program berimpak seperti ini.

"Saya berharap program sebegini akan diteruskan lagi pada masa akan datang dan berharap sekolah ini akan terpilih lagi," kata Johari.

Untuk info, Citra Orator 2025 merupakan program julung kali diadakan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang cara berkomunikasi secara efektif dan mempersiapkan diri sebelum memasuki alam pendidikan tinggi nanti.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp