
Bapa lega anak terima sumbangan komputer riba
Kesukaran anak untuk menamatkan pengajian di tahun akhir di sebuah universiti kerana ketiadaan komputer riba membuatkan seorang bapa berdepan tekanan.
M Gaani, 55, berkata, dengan pendapatan yang tidak menentu serta lima bulan tidak bekerja menyebabkan keperluan anak yang sedang belajar di sebuah universiti di Melaka tidak mampu dipenuhi.
Menurutnya, komputer riba milik anaknya itu rosak namun disebabkan kekangan kewangan, terpaksalah meminjam daripada rakan-rakan sekuliah untuk menyiapkan tugasan.
"Saya sangat risau sebab anak sekarang di tahun akhir, jadi saya tak mahu dia terganggu untuk tamatkan pengajian disebabkan komputer riba yang rosak itu.
"Mujurlah ada pihak yang sudi membantu memberikan komputer riba percuma kepada anak dan saya bersyukur sangat," katanya kepada pemberita selepas menerima komputer riba sempena program sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebuah syarikat logistik, Centre Side Express Sdn Bhd di Pejabat Persatuan Pembangunan dan Prihatin Masyarakat Perak pada Sabtu.
Hadir sama Presiden Persatuan Pembangunan dan Prihatin Masyarakat Perak, Pathma Devi dan Pengarah Urusan Kumpulan Centre Side Express Sdn Bhd, Datuk Lal Ravindrarajuloo Naidu.
Sementara itu, Gaani mengakui lega apabila ada pihak yang sudi membantu memudahkan urusan anaknya yang merupakan pelajar dalam jurusan teknologi maklumat itu sekali gus meringankan beban keluarganya
Seorang lagi penerima sumbangan komputer riba itu, SD Sanjanaa Sri, 21, juga mengakui lega dengan pemberian tersebut.
Pelajar tahun pertama Politeknik Ungku Omar itu meluah rasa syukur kerana terpilih menerima sumbangan berkenaan memandangkan hanya ibunya bekerja menanggung keluarga.
Penuntut jurusan teknologi maklumat itu juga berjanji akan mendapatkan keputusan cemerlang sebagai membalas jasa mereka yang membantu.
Dalam pada itu, Lal Ravindrarajuloo menggesa pemilik perniagaan lain untuk bersama-sama menyumbang kepada masyarakat melalui program CSR.
"Setakat ini saya sudah menyumbang lebih 30 buah komputer riba kepada pelajar-pelajar yang memerlukan. Saya rasa puas hati melihat anak-anak ini berjaya dengan sumbangan yang diberikan.
"Sebab itu saya minta agar lebih ramai lain ahli-ahli perniagaan sumbangkan keuntungan mereka kepada masyarakat yang memerlukan. Tak rugi pun malah rezeki kita makin bertambah," katanya.
Beliau berkata, inisiatif seumpama itu akan diteruskan tanpa mengira bangsa asalkan masyarakat mendapat manfaat.